Mohamad Hijazi selamat pulang ke pangkuan keluarganya, hari ini.

Beri ruang Mohamad Hijazi berehat, dia nampak trauma – Bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Keluarga Mohamad Hijazi Zamri, 26, seorang guru di sebuah Sekolah Agama Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) memberi ruang kepada pemuda itu untuk berehat dan bertenang selepas dia ditemui semula di Pokok Sena, Kedah, malam tadi.

Bapanya, Zamri Saidin, 53, berkata, anak sulung daripada tujuh beradik itu kelihatan trauma dan mengalami tekanan selepas melalui tempoh sukar sepanjang kehilangannya lebih 70 jam, sejak Sabtu lalu.

“Ya, Muhammad Hijazi memang sudah berada di pangkuan keluarga hari ini. Sekarang ini, dia diberi ruang untuk rehat yang secukupnya, sebab dia agak trauma dan juga tekanan.

“Pihak polis pun nasihat supaya jangan tanya apa-apa dahulu mengenai masalah atau perkara yang berlaku. Buat sementara waktu ini, kita beri dia masa untuk berehat dan bertenang.

“Ketika kami mengambilnya di Balai Polis Bayan Lepas, kami pun tidak bertanya apa-apa. Kami hanya berbual mengenai perkara lain dan cuba menenangkannya,” katanya kepada Kosmo! di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Zamri turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu mencari Mohamad Hijazi selain mendoakan keselamatan pemuda berkenaan sepanjang tempoh kehilangannya.

“Terima kasih kepada semua pihak, kawan-kawan, adik-beradik dan kenalan yang membantu serta mendoakan. Terima kasih banyak-banyak. Alhamdulillah,” ujarnya.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab dilaporkan berkata, hasil tindakan dan siasatan lanjut pihak polis telah berjaya mengesan keberadaan mangsa di sebuah rumah di Kampung Bukit Payong, Pokok Sena, Kedah, awal pagi tadi.

Beritahu Anuwal, pemeriksaan lanjut mendapati lelaki tersebut turut berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke Balai Polis Bayan Lepas untuk tindakan lanjut dan telah diserahkan kepada pihak keluarga,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah membantu dalam usaha mengesan mangsa sehingga berjaya ditemui.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berkaitan kejadian tersebut,” tambahnya.

Sabtu lalu, Mohamad Hijazi dilaporkan hilang selepas dia keluar menunaikan solat Isyak di Surau Al-Muttaqin, Sungai Ara di sini, kira-kira pukul 8.40 malam.

Pemuda tersebut dikatakan keluar dari rumahnya di Sungai Ara dengan menunggang motosikal Yamaha LC berwarna biru, selain memakai baju-T lengan panjang berwarna hitam dan jingga serta seluar trek hitam. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN