KULAI – Belum sampai setahun menduduki rumah baharu, penduduk di Bandar Putra di sini terpaksa berdepan pengalaman pahit apabila kawasan perumahan mereka dilanda banjir minggu lalu.
Kejadian itu mencetuskan rasa kesal dalam kalangan penduduk sehingga seorang pengguna Threads @lyy _threads mempersoalkan kualiti pembangunan kawasan perumahan berkenaan.
Menurutnya, penduduk perlu menanggung komitmen bayaran bulanan rumah antara RM480,000 hingga RM650,000 selama kira-kira 30 tahun, namun terpaksa berhadapan masalah banjir walaupun baru setahun menetap di situ.
“Bayangkan, anda bayar RM400,00 hingga RM480,000 untuk rumah teres setingkat, dan RM480,000 hingga RM650,000 untuk rumah dua tingkat, bayar untuk tempoh 30 tahun dan ini yang anda dapat pada tahun pertama,” katanya menerusi hantaran dimuat naik hari ini.
Bagaimanapun, isu berkenaan mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Md Shukor yang telah turun padang meninjau kawasan terjejas di Jalan Tempua Utama dan Jalan Bayan, dua hari selepas kejadian.
Beliau turut menggesa pihak pemaju perumahan supaya mengambil tanggungjawab menyelesaikan masalah banjir berkenaan dalam tempoh dua minggu.
Susulan itu, pihak pemaju dilaporkan memperuntukkan RM1.5 juta bagi kerja matigasi banjir di Jalan Bayan secara berfasa manakala Majlis Perbandaran Kulai diarah memantau kerja-kerja pembersihan yang dilakukan oleh pemaju perumahan.
Sementara itu, seorang pengguna dipercayai penduduk taman perumahan terbabit meninggalkan respon pada hantaran tersebut memaklumkan kawasan berkenaan sudah kembali pulih dan kerja-kerja pembaikan telah dilakukan oleh pihak berwajib. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














