PEKAN – Meskipun mempunyai kelulusan sarjana dan berpengalaman puluhan tahun sebagai pendidik, seorang pesara guru berputih mata apabila diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM1.1 juta.
Mangsa yang berusia 65 tahun menggunakan wang simpanannya bersama isteri selain dipinjam daripada adik beradik dan hasil penjualan tanah untuk diserahkan kepada ‘scammer’.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, kejadian bermula pada 21 Jun lalu selepas lelaki tersebut melihat iklan pelaburan di aplikasi TikTok menggunakan nama akaun sebuah syarikat.
“Mangsa kemudian berhubung dengan individu yang mendakwa ejen syarikat tersebut melalui aplikasi WhatsApp.
“Mangsa diberikan penerangan mengenai pelaburan saham dan analisis pasaran kewangan sebelum bersetuju menyertai skim pelaburan tersebut,” katanya di sini hari ini.
Jelasnya, sejak 21 Ogos hingga 7 Oktober lalu, pesara tersebut melakukan sebanyak 22 transaksi dalam talian ke dalam enam akaun bank selain urusan di kaunter institusi kewangan seperti yang diarahkan suspek.
Bagaimanapun, katanya, selepas semua pembayaran dibuat, suspek masih meminta mangsa membuat bayaran tambahan dengan alasan yang tidak munasabah.
Selain itu, warga emas tersebut juga tidak menerima sebarang keuntungan seperti yang dijanjikan dan mengesyaki menjadi mangsa penipuan sebelum tampil membuat laporan polis.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian berjumlah RM1,106,253 dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.-KOSMO! ONLINE














