KOTA BHARU – Seorang guru didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan persetubuhan luar tabii ke atas tiga pelajar lelaki berusia 17 tahun.
Tertuduh, Mohd. Shafie Mohamad, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, penjawat awam itu didakwa melakukan perbuatan tersebut ke atas seorang remaja berusia 17 tahun lapan bulan ketika kejadian.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah hotel dan dalam bilik tidur sebuah rumah di Kampung Tok Berlian, Bachok pada Jun 2025, April dan 17 September 2026.
Bagi pertuduhan keempat, Mohd. Shafie dituduh melakukan perbuatan itu terhadap mangsa lain berusia 17 tahun enam bulan ketika kejadian di sebuah rumah di Kampung Tok Berlian pada pertengahan Ogos lalu.
Tertuduh turut didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang lagi mangsa berusia 17 tahun lima bulan di rumah sama pada pukul 6 petang, 26 Ogos lalu.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika disabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Arina Razali, manakala Mohd. Shafie diwakili peguam Nurul Samhana Aidenan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM23,000 dengan seorang penjamin bagi kelima-lima pertuduhan selain perlu mengemukakan alamat tetap, tidak menganggu saksi pendakwaan dan mangsa selain melaporkan diri di balai polis berdekatan dua bulan sekali.
Mahkamah menetapkan 10 November ini untuk sebutan semula kes. Tertuduh membayar jaminan tersebut. – KOSMO! ONLINE














