Mohd Najib (dua dari kiri) bersama pengurusan dan barisan pelajar yang kini berada di Guangzhou, China.

UC TATI pacu pendidikan merentasi sempadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMAMAN – Sembilan pelajar Kolej Universiti TATI (UC TATI) mencatat sejarah baharu institusi itu apabila menjadi kumpulan pertama dihantar ke China bagi mengikuti laluan pengajian dalam bidang kejuruteraan, sains komputer dan pengurusan perniagaan.

Mereka kini ditempatkan di Guangzhou Huashang Vocational College (GHVC) sebagai sebahagian usaha UC TATI memperluas pendedahan antarabangsa pelajarnya serta mempersiapkan graduan menghadapi keperluan pasaran kerja yang semakin bersifat global.

Timbalan Rektor Akademik dan Pengantarabangsaan UC TATI, Ts. Dr. Mohd Najib Muhamed berkata langkah berkenaan selaras dengan keperluan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan untuk membina hubungan strategik dengan rakan antarabangsa, selain memastikan graduan kekal relevan dengan perkembangan industri.

Menurutnya, pelajar dan institusi pendidikan perlu berani keluar daripada zon selesa bagi memahami perubahan keperluan industri serta persaingan dalam pasaran kerja antarabangsa.

“Kita perlu keluar dari zon selesa sama ada sebagai pemegang taruh dalam sektor pendidikan tinggi mahupun bagi pelajar itu sendiri untuk masa depan masing-masing dalam keperluan industri global masa kini. Masing-masing hadir dengan tanggungjawab besar untuk membina generasi baru yang akan memacu ekonomi mahupun kemajuan untuk tanah air kita ini.

“Kita tidak boleh nafikan yang China sememangnya kuasa besar dunia yang mendahului banyak sektor industri termasuk bidang teknologi yang secara tidak langsung menjadi asas dalam kehidupan seharian masa kini. Sebalik ledakan industri teknologi ini juga secara asasnya adalah satu urusniaga perniagaan di peringkat global yang menjadi tambah nilai untuk melahirkan graduan berkaitan yang berkualiti,” katanya.

Tambah beliau, Yayasan Terengganu juga memain peranan besar dalam dimensi baru pendidikan global bagi pelajar-pelajar UC TATI khususnya anak-anak Terengganu bagi memberi peluang sama rata untuk mereka melangkah ke peringkat pengajian tinggi dalam persekitaran antarabangsa.

Untuk kelompok pertama ke China ini, seramai sembilan pelajar telah ditempatkan GHVC di mana setiap pelajar ini perlu bermula dengan pengajian bahasa Mandarin bagi menduduki peperiksaan Hanyu Shuiping Kaoshi sebelum meneruskan pengajian khusus peringkat ijazah dalam bidang masing-masing. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN