fbpx
Rais (kiri) bersama isteri selepas selesai prosiding di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini.

Rais Yatim mengaku tidak bersalah tuduhan menghasut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Bekas Senator Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebut perkataan menghasut ketika berada dalam majlis di sebuah hotel di Alor Gajah pada 5 Jun lalu.

Rais yang berusia 84 tahun membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Mengikut pertuduhan, Pengerusi Parti Wawasan Negara itu didakwa menyebut perkataan menghasut iaitu ‘Mendoakan selamat kepada Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-12’.

“Jadi, selepas ini, bebaslah, yang, Duli Maha Mulia, Tuanku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar Ke-12, melakukan apa saja hal-hal kedirajaan.

“Dan seruan kami ialah tumpukanlah taat setia kepadanya, oleh kerana kita mengikut lunas undang-undang dan juga lunas adat yang ada di Negeri Sembilan,” katanya.

Perbuatan itu dilakukan pada pukul 1 tengah hari di sebuah hotel di Alor Gajah pada 5 Jun lalu.

Sabit kesalahan, pemimpin politik itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

Terdahulu,  Timbalan Pendakwa Raya yang dibarisi Shahrizat Ismail, Nor Azizah Aling dan Nadia Mohd. Izhar mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu, Rais pula diwakili anaknya, Danni bersama empat peguam lain iaitu Sheela Menon, Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz, Ahmad Soleh Yusof dan Syahmi Aiman Mohamed Nasir.

Danni dalam hujahannya memohon jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh memberi kerjasama yang baik meskipun pertuduhan tersebut hanya diketahui pada pukul 10.30 malam tadi.

Katanya, beliau bergegas ke Melaka dari Kuala Lumpur pada pukul 7 pagi tadi bagi menghadiri prosiding hari ini.

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin. Sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Oktober ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN