KLANG – Masih terdapat pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan yang melanggar disiplin sehingga beberapa pegawai kanan dikenakan tindakan sepanjang bulan ini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, perkara itu amat mendukacitakan kerana pelanggaran disiplin masih berlaku walaupun penegasan supaya warga polis mematuhi peraturan telah diberikan.
Katanya, tindakan akan dibuat tanpa mengira pangkat atau kedudukan sebagai bukti pihaknya tidak berkompromi dengan sebarang salah laku dalam pasukan.
“Ini sangat mendukacitakan kerana dalam tempoh September ini, kita membuka kertas siasatan tatatertib termasuk membabitkan pegawai kanan,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan IPD Klang Selatan di sini, hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak memperincikan jumlah anggota atau pegawai dan jenis kesalahan yang dilakukan sepanjang enam bulan bertugas di bawah pentadbiran Klang Selatan.
Katanya, pendirian beliau sejak melapor diri adalah jelas iaitu tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku, termasuk pegawai kanan.
“Kalau melanggar mana-mana akta, kita akan buat laporan polis, tangkap dan letakkan dalam lokap atau lapor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya melibatkan kes rasuah,” tegas.
Menurut jit Huey, tindakan tatatertib juga boleh memberi kesan terhadap penilaian prestasi dan pergerakan gaji.
Sehubungan itu, beliau memberi amaran tegas supaya semua pegawai dan anggota tidak mengulangi kesalahan yang boleh menjejaskan imej pasukan.
“Ketegasan penyeliaan sangat penting untuk mengecilkan ruang dan peluang berlakunya salah laku dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Semua ketua polis balai perlu memantau anggota di bawah seliaan masing-masing tanpa kronisme, pilih kasih dan sebagainya,” katanya.
Tambahnya, pemantauan secara berterusan dan tindakan tegas tanpa mengira pangkat penting bagi memastikan integriti warga PDRM terus dipelihara serta imej pasukan terjaga. – KOSMO! ONLINE
















