fbpx
Victor Teoh meninjau keadaan luar Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Bandar Tun Razak yang sempit, panas dan kurang selesa

Ruang menunggu klinik ibu dan anak sempit, panas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ruang menunggu yang sempit, panas dan kurang selesa di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Bandar Tun Razak, Sri Kota di sini, menimbulkan kesulitan kepada pesakit.

Ketua Pemuda MCA Bahagian Bandar Tun Razak, Victor Teoh Wei Loong berkata, keadaan itu lebih membimbangkan kerana klinik berkenaan banyak menerima wanita hamil, bayi dan kanak-kanak.

Menurutnya, tinjauan di lokasi mendapati ruang pesakit beratur dan menunggu di bahagian luar klinik agak sempit sehingga boleh menjadi sesak apabila jumlah pesakit meningkat.

Katanya, pengudaraan di kawasan menunggu luar klinik juga kurang memuaskan terutama ketika cuaca panas.

“Ketika hujan pula, keadaan persekitaran boleh menjadi basah, sekali gus menambahkan ketidakselesaan kepada pesakit yang terpaksa menunggu sebelum mendapatkan rawatan,” katanya di sini hari ini.

Victor berkata, kedudukan unit penyaman udara luar berhampiran laluan dan kawasan pesakit beratur turut menjadi perhatian apabila haba panas yang dilepaskan menghala terus ke kawasan menunggu.

Beliau turut membangkitkan isu kemudahan parkir yang terhad di sekitar klinik sehingga menyukarkan wanita hamil, ibu bapa membawa anak kecil dan warga emas.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menilai keadaan kemudahan sedia ada termasuk ruang menunggu, pengudaraan, perlindungan daripada cuaca dan parkir.

Beliau berkata, jika kekangan ruang dan parkir berterusan, KKM serta agensi berkaitan wajar mengkaji lokasi baharu yang lebih sesuai di kawasan Bandar Tun Razak.

“Jika pemindahan atau pembinaan klinik baharu tidak dapat dilaksanakan dalam masa terdekat, kemudahan sedia ada juga perlu ditambah baik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN