fbpx
Kubah Pejabat Perdana Menteri hampir tidak kelihatan apabila bacaan udara di Putrajaya mencatatkan IPU tidak sihat semalam.

Jerebu berlarutan hingga esok, ini sebabnya…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Jerebu yang melanda hampir keseluruhan Semenanjung Malaysia termasuk Pantai Timur berpotensi menghampiri paras bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 200 dan dijangka berlarutan sehingga esok.

Pakar Kualiti Udara Universiti Sultan Zainal Abidin, Prof. Madya Dr. Azman Azid berkata, pola pergerakan udara (di Semenanjung Malaysia) ketika ini membawa masuk jerebu dari Sumatera, Indonesia hingga ke Pantai Timur.

Azman

“Keadaan jerebu dijangka berterusan sehingga Jumaat ini (esok) berikutan keha­diran jisim udara tercemar,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Menurut Azman, situasi jerebu terutama di Pantai Timur diburukkan lagi oleh pergerakan angin yang lemah di sekitar Laut China Selatan.
Tambahnya, setakat ini kawasan yang menunjukkan kepekatan pencemar sa-ngat tinggi dilihat semakin menghampiri Pantai Timur.

“Peningkatan bacaan IPU keba­nyakan kawasan di Semenanjung Malaysia termasuk Terengganu ketika ini banyak disebabkan jerebu rentas sempadan.

“Bagaimanapun, faktor tempatan seperti aktiviti perindustrian turut berpotensi me­nyumbang kepada peningkatan kepekatan partikel halus PM2.5,” katanya.

Begitupun, Azman menegaskan tahap bacaan IPU sama ada meningkat atau menurun sepanjang tempoh tersebut masih bergantung kepada pergerakan angin dan keadaan cuaca semasa.

Beliau menjelaskan angin yang bergerak lebih laju serta hujan boleh membantu mengurangkan kepekatan pencemar di udara.

“Sebaliknya, sekiranya jisim udara tercemar terus bergerak ke arah kawasan ini dalam kea­daan tiupan angin yang perlahan, bacaan IPU berpotensi te­rus meningkat dan kemungkinan akan menghampiri paras 200.

“Udara sentiasa bergerak dan tidak berada di satu kawasan sahaja. Setiap kali arah angin berubah, kawasan yang mene­rima kesan pencemar juga boleh beralih,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Azman menasihatkan orang ramai terutama golongan kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar pada masa ini.

Beliau menjelaskan, partikel PM2.5 yang sangat halus boleh memasuki sistem pernafasan dan meningkatkan risiko masalah kesihatan berkaitan respiratori sekiranya seseorang terdedah dalam tempoh ter­tentu jika berada di kawasan luar rumah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN