PETALING JAYA – Ribuan jemaah dari Malaysia yang sedang menunaikan umrah diselubungi suasana panik dan mendebarkan apabila mereka menerima mesej amaran kecemasan daripada kerajaan Arab Saudi mengenai ‘potensi bahaya’ di ruang udara negara tersebut.
Detik cemas yang turut mencetuskan rasa bimbang itu berlaku selepas pihak berkuasa di Arab Saudi mengesahkan kumpulan Houthi dari Yemen telah melancarkan serangan dron berskala besar di wilayah berkenaan.
Bagi rakyat Malaysia, mesej amaran yang diberikan itu digambarkan sebagai waktu yang cukup tegang, walaupun tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Penuntut universiti, Adam Baihaqi Mansor, 25, berkata, dia menerima mesej amaran tersebut melalui telefon bimbit ketika berada di Mekah kelmarin.
Katanya, ketika kejadian dia bersama tiga saudaranya berada di bilik hotel dan mendapat maklumat kira-kira pukul 2 petang waktu tempatan.
“Walaupun ada amaran kecemasan, kami tetap berjaga-jaga kerana kerana bimbang berlaku kejadian yang tidak diingini.
“Kami berempat tetap menunai ibadah umrah hingga selesai tetapi dalam keadaan berhati-hati.
“Sebaik saya turun dari hotel, saya dimaklumkan oleh orang ramai berhubung serangan dron dan peluru berpandu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Adam Baihaqi yang baru tiga hari berada di Mekah berkata, mereka tidak merasai sebarang gegaran terutamanya ketika berada di dalam bilik hotel.
Sebaliknya, keadaan di Mekah selamat dan orang ramai menunaikan ibadah umrah seperti biasa.
“Saya akan bertolak pulang ke tanah air dari Madinah pada 24 September dan berdoa agar dapat menunaikan ibadah umrah dengan sempurna,” katanya.
Bagi Muhammad Helmi Arif Mohd. Hazim, 25, dia memohon doa seluruh rakyat Malaysia agar dipermudahkan dan diberikan keselamatan selama mengerjakan umrah.
Menurutnya, dia menerima mesej amaran kecemasaan berkenaan ketika waktu zuhur kelmarin, namun keadaan di sekitar Masjidil Haram ketika itu agak tenang.
“Pada mulanya saya ingat perkara ini (mesej) memang biasa berlaku. Lagipun keadaan di Masjidil Haram tenang saja. Selepas itu agak cemas juga,” katanya.
Kongsinya lagi, susulan amaran yang dikeluarkan Arab Saudi, banyak tempat yang ditutup sementara bagi mengelak sebarang kemungkinan berlaku.
“Tadi (semalam) nak masuk Jabal Nur, sudah tutup. Kami terpaksa berpatah balik,” katanya.

Turut berkongsi pengalaman ialah seorang rakyat Malaysia yang berkerja di Arab Saudi, Ahmad Najhan Hassim, 35, yang mengakui pertama kali menerima amaran berkaitan ancaman atau serangan menerusi telefon bimbitnya selepas hampir lapan tahun tinggal di negara tersebut.
Ahmad Najhan yang kini berada di Jeddah berkata, siren amaran automatik itu diterimanya kira-kira pukul 4 pagi semalam ketika sedang tidur.
Bagaimanapun, katanya, keadaan di Jeddah kekal terkawal dan dia masih menjalani rutin pekerjaan seperti biasa.
“Saya sedang tidur ketika tiba-tiba siren amaran automatik berbunyi daripada telefon bimbit.
“Kemudian, kira-kira pukul 1 tengah hari, saya menerima satu lagi amaran. Setakat ini Jeddah masih terkawal dan saya masih bekerja seperti biasa,” katanya.

Menurut Najhan, sepanjang hampir lapan tahun bekerja di Arab Saudi, sebelum ini amaran yang diterimanya lebih menjurus kepada keadaan cuaca atau bencana alam.
Najhan berkata, dia tidak terlalu cemas kerana mengetahui kawasan yang dikaitkan dengan ancaman itu termasuk Taif dan Abha terletak jauh dari Jeddah.
Kelmarin, Arab Saudi mengaktifkan amaran kecemasan di kota suci Mekah buat kali pertama sejak kumpulan Houthi di Yemen meningkatkan serangan dron dan peluru berpandu ke atas kerajaan berkenaan, lapor saluran berita Al-Minitor.
















