fbpx
Mohd. Syafiq (kiri) menunjukkan antara lokasi pencarian di Pos Pangkalan Hadapan Jeti Sementa, Klang. Foto oleh MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS/ KOSMO!

Mayat pemancing diikat pada tong dijumpai di Bagan Datuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Mayat seorang lelaki dipercayai seorang daripada tiga pemancing yang hilang di perairan One Fathom Bank berhampiran Pulau Ketam ditemukan nelayan di perairan Perak, pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohd. Rahimi Zainol berkata, mayat itu dijumpai sekumpulan nelayan pada jarak 11 batu nautika di Bagan Sungai Belukang, Bagan Datuk pada pukul 9.30 pagi.

“Ketika ditemukan, mangsa memakai jaket keselamatan dan diikat pada sebuah tong. Keadaan fizikal mayat itu masih baik,” katanya ketika ditemui di Pos Pusat Pangkalan Hadapan, Jeti Sementa, di sini, hari ini.

Menurut Mohd. Rahimi, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk proses pengecaman oleh ahli keluarga dan mangsa yang terselamat.

“Empat mangsa yang selamat kini berada dalam keadaan stabil dan dirawat di HTAR dan Hospital Banting,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Maritim Selangor, Leftenan (M) Mohd. Syafiq Sazali berkata, tumpuan pencarian kini diperluaskan ke kawasan perairan sempadan Selangor dan Perak susulan penemuan mayat tersebut.

“One Fathom Bank terletak berdekatan sempadan Malaysia-Indonesia. Ada sebuah rumah api di situ. Biasanya, pemancing datang ke sana untuk memancing. Jadi, kita buat pencarian di One Fathom Bank dan kawasan perairan berdekatan sempadan Indonesia,” katanya.

Semalam Kosmo! melaporkan empat pemancing berjaya ditemui dalam keadaan selamat oleh nelayan tempatan di perairan Sekinchan, kira-kira pukul 9.50 pagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN