SERDANG – Kira-kira 2,000 pengunjung memenuhi kawasan Perkampungan Bang Mat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) bagi menyaksikan persembahan muzikal Rhythm of the Farmers (ROTF), malam tadi.
Bertemakan Rock Anthem: Legacy, persembahan yang bermula sekitar pukul 8.30 malam itu menampilkan Hafiz & The Gang sebagai pembuka tirai sebelum pentas dirancakkan dengan persembahan Khalifah Hulubalang.
Sekitar pukul 9.10 malam, kumpulan rock tanah air itu membawakan lima lagu iaitu Khalifah, Kasihnya Laila, Assalamualaikum Ustazah, Hang Pi Mana dan Tanggal 31.
Persembahan diteruskan dengan penampilan penyanyi Azlan And The Typewriter yang menghiburkan pengunjung menerusi tiga lagu iaitu Jangan Khianati Aku, Lagu Untukmu serta Semalam Yang Hangat yang pernah dipopularkan kumpulan Wings.
Kemunculan Ratu Rock negara, Ella selepas itu terus menjadi antara tumpuan apabila beliau menyampaikan tiga lagu iaitu Layar Impian, Sembilu dan Standing In The Eyes Of The World.
Malah, Ella turut memenuhi permintaan pengunjung untuk menyampaikan sebuah lagu tambahan bagi menghiburkan peminat yang hadir.
Turut hadir menyaksikan persembahan tersebut ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Program muzikal ROTF dibawakan oleh MardiCorp Sdn. Bhd. dan merupakan persembahan percuma kepada pengunjung Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026. – KOSMO! ONLINE














