PETALING JAYA – Tular dakwaan sekumpulan pengunjung terpaksa turun dan berjalan di atas laluan sebuah roller coaster selepas permainan itu dipercayai terhenti ketika sedang beroperasi.
Menerusi perkongsian seorang pengguna Threads, beberapa pengunjung dilihat berada di atas laluan permainan berkenaan sebelum dipercayai dibawa keluar dari kawasan tersebut.
“Belum selesai isu taman tema, ini pula sampai kena turun dari roller coaster. Harap tiada sesiapa yang cedera. Dah macam ‘jungle trekking’ (meredah hutan) pun ya,” tulisnya.
Tinjauan di ruangan komen mendapati seorang pengguna mendakwa situasi seumpama itu boleh berlaku sekiranya permainan mengalami masalah teknikal dan pengunjung perlu dibawa keluar menggunakan laluan khas.
“Memang kena jalan kaki. Mungkin (roller coaster) tersangkut sebab masalah teknikal dan tak boleh kembali ke tempat asal. Ada laluan untuk mereka keluarkan pengunjung,” kata Unie.
Seorang lagi pengguna yang mendakwa pernah bekerja di sebuah taman tema tersebut berkata, aspek keselamatan lazimnya dititikberatkan dan sepanjang tempoh dia bekerja, tiada pengunjung mengalami kecederaan akibat situasi sedemikian.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi berhubung kejadian tersebut dan Kosmo! sedang mendapatkan pengesahan lanjut mengenai dakwaan berkenaan. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














