MOHAMED ANIM dipenjara 14 hari dan denda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini selepas mengaku salah menghina agama Islam, 30 Julai lalu. Foto RAJA JAAFAR ALI

Lelaki Singapura dijel 14 hari, denda RM7,000 hina Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Seorang pengawal keselamatan warga Singapura dipenjara 14 hari dan denda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mengeluarkan kata-kata berunsur penghinaan terhadap agama Islam bulan lalu.

Majistret A. Shaarmini menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamed Anim Atam, 56, dan memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, Mohamed Anim didakwa dengan sengaja berniat hendak melukakan perasaan agama mana-mana orang dengan menyebut perkataan berunsur penghinaan terhadap agama Islam yang  didengari oleh seorang lelaki.

Kesalahan itu dilakukan dari Jalan Tun Razak hingga Jalan Meldrum di sini pada pukul 5 petang, 30 Julai lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Eizlan Azhar memohon hukuman setimpal dikenakan ke atas tertuduh kerana kes tersebut tular di media sosial dan melibatkan isu 3R (raja, agama dan kaum).

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana menghidap penyakit darah tinggi selain dalam proses bercerai yang memerlukannya hadir di Mahkamah Syariah di negaranya.

Terdahulu, sebuah video membabitkan warga Singapura yang didakwa menghina Islam ketika menaiki sebuah kenderaan e-hailing di sekitar bandar raya ini tular dalam media sosial.

Susulan kejadian itu, suspek ditahan sepasukan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan dengan bantuan Polis Singapura. Pihak berkuasa turut merampas telefon bimbit bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN