GURU juga memerlukan cuti rehat di hujung minggu terutama pada hari Sabtu selepas penat mengajar dan berdepan dengan kerenah murid yang pelbagai sebelum itu. – GAMBAR JANAAN AI

Biar guru rehat bersama keluarga pada hujung minggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Saudara Pengarang,

Saya terpanggil untuk menyuarakan kebimbangan mengenai budaya segelintir pentadbir sekolah yang gemar mengadakan pelbagai program pada hari Sabtu sehingga guru terpaksa hadir ke sekolah walaupun hujung minggu sepatutnya menjadi waktu berehat bersama keluarga.

Ramai guru sebenarnya memerlukan dua hari tersebut untuk memulihkan tenaga selepas lima hari bertugas di bilik darjah, menyiapkan tugasan pentadbiran serta mengurus keluarga.

Namun, masih ada pihak yang seolah-olah menganggap Sabtu sebagai hari bekerja biasa dengan pelbagai alasan menganjurkan program.

Lebih mengecewakan apabila ada pentadbir dilihat tidak menghormati keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan peribadi guru. Sikap seperti ini bukan sahaja memberi tekanan kepada warga pendidik, malah boleh menjejaskan motivasi serta kesejahteraan mereka.

Saya turut bersetuju dengan pandangan seorang pentadbir sekolah yang menyatakan beliau sendiri tidak menggalakkan guru hadir ke sekolah pada hari minggu dan sedaya upaya tidak mengganggu mereka dengan urusan kerja, kecuali perkara santai.

Malah, beliau juga berharap pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) tidak menghubungi pihak sekolah mengenai urusan rasmi pada hujung minggu.

Pandangan sedemikian membuktikan masih ada pentadbir yang memahami keperluan guru untuk berehat dan meluangkan masa bersama keluarga.

Pada masa sama, saya berharap Kementerian Pendidikan (KPM) dapat meneliti semula Pekeliling Bilangan 2 Tahun 2016 berkaitan bekerja pada minggu kedua dan keempat yang didakwa sering dijadikan asas untuk menganjurkan program pada hujung minggu.

Guru merupakan aset penting negara. Justeru, kesejahteraan dan hak mereka untuk menikmati waktu rehat sewajarnya dipelihara agar mereka dapat kembali bertugas dengan lebih bersemangat demi mendidik anak bangsa.

Guru Prihatin
Perak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN