PETALING JAYA – Punca dan keadaan berkaitan kejadian dua pelajar perempuan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Alor Gajah yang dilaporkan hilang pada 11 Ogos lalu, masih dalam siasatan pihak polis.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kedua-dua pelajar berusia 16 tahun itu berjaya ditemui oleh pihak polis di kawasan Central Market, Kuala Lumpur kira-kira pukul 10.30 malam tadi.
“Punca dan keadaan berkaitan kejadian ini masih dalam siasatan pihak polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua pelajar itu ditemui Bahagian D9, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Ibu Pejabat Daerah Alor Gajah.
Sebelum itu, kedua-duanya telah mendapatkan rawatan di sebuah Klinik Kesihatan berhampiran selepas dilaporkan kurang sihat.
Selepas ditemui, kedua-dua pelajar berkenaan dibawa untuk menjalani pemeriksaan kesihatan lanjut di Hospital Kuala Lumpur sebelum diserahkan kembali kepada pihak keluarga.
Terdahulu, Kosmo ! melaporkan dua pelajar MRSM Alor Gajah, Melaka yang hilang sejak Selasa lalu, berjaya ditemui di ibu negara malam tadi.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berhubung penemuan dua remaja tersebut oleh pihak polis Bukit Aman. – KOSMO! ONLINE














