GERIK – Seorang pemandu lori didenda RM11,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memindahkan 119 ekor kambing dan 15 ekor lembu tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Perak.
Mohd. Syafiq Aiman Amir, 30, selaku Orang Kena Saman (OKS) yang menghadapi dua pertuduhan membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Muhammad Firdaus Nor Azlan.
Mohd. Syafiq turut berdepan hukuman penjara empat bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mohd. Syafiq didakwa memindahkan 119 ekor kambing menggunakan lori tanpa kebenaran bertulis daripada Pengarah DVS Perak atau mana-mana pegawai yang diberi kuasa, di tepi Jalan Raya Timur-Barat dalam daerah Hulu Perak pada pukul 3.30 pagi, 8 Februari lalu.
OKS turut didakwa memindahkan 15 ekor kerbau menggunakan lori di tepi Lebuh Raya Timur-Barat berhampiran Restoran Bondaku dalam daerah sama pada pukul 2.40 pagi, 27 Februari lalu.
Majistret menetapkan denda sebanyak RM6,500 bagi pertuduhan pertama atau penjara lima bulan sekiranya gagal bayar. Bagi pertuduhan kedua, OKS didenda RM5,000 atau empat bulan penjara sekiranya gagal bayar.
Mahkamah turut memerintahkan wang jualan haiwan ternakan sebanyak RM35,887.50 dan RM36,750 dilucut hak kepada kerajaan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa DVS, Roziman Awang Tahrin, manakala OKS diwakili peguam bela, Muhammad Zaem Ab. Aziz. – KOSMO! ONLINE
















