PONTIAN – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan kira-kira 70 peratus daripada 2.7 juta pengundi berdaftar akan menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, esok berdasarkan sambutan sepanjang tempoh berkempen.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Haron berkata, sebanyak 1,076 pusat mengundi membabitkan 4,889 saluran mengundi akan dibuka di seluruh Johor dan penutupan pusat mengundi adalah berbeza mengikut lokasi.
“Yang paling awal ialah pukul 11 pagi di Pulau Besar, Mersing, diikuti Pulau Aur dan Pulau Pemanggil pada pukul 12 tengah hari. Sebanyak 17 pusat mengundi pula ditutup pada pukul 2 petang, 42 pusat mengundi pada pukul 4 petang dan selebihnya, iaitu 1,114 pusat mengundi, akan ditutup pada pukul 6 petang,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses semakan peti undi di Dewan Serbaguna Permas, di sini hari ini.
Menurut Ramlan, seramai 43,046 petugas SPR daripada Pegawai Pengurus sehingga kerani pengundian digerakkan selain pihaknya turut mengeluarkan 24,677 kertas undi pos yang perlu diterima semula sebelum pukul 6 petang esok untuk dikira.
Mengulas mengenai aduan berkaitan pilihan raya, beliau berkata, SPR menerima 753 aduan sepanjang tempoh kempen, selain 63 laporan polis dan tiga laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). – KOSMO! ONLINE














