PONTIAN– Pemimpin dan ahli parti di Johor perlu mengetepikan rasa kecewa atau ‘merajuk’ akibat tidak terpilih sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada kali ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata tumpuan penuh perlu diberikan kepada kekuatan jentera parti bagi memastikan Barisan Nasional (BN) terus menang, sekali gus mengekalkan Johor sebagai kubu kuat BN dan UMNO.
“Ada kedengaran lagi di beberapa kawasan tertentu, memang ada yang berkecil hati kerana tidak terpilih sebagai calon atau tidak disambung, namun itu adalah sebahagian daripada rezeki.
“Kita semua tahu bahawa tidak ada sebarang campur tangan daripada mana-mana pihak. Saya menyerahkan sepenuhnya kepada Menteri Besar dan kepimpinan bahagian untuk membuat penentuan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan gelombang biru bagi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut di Jalan Parit Ismail, disini, tengahari ini.
Tambah Ahmad Zahid, sekiranya ada yang merajuk kerana tidak terpilih, diharap dapat bersabar, mungkin rezeki akan ada pada masa akan datang.
“Tunggulah masanya. Apabila tiba rezeki, rezeki tidak pernah salah alamat. Saya yakin pada satu ketika nanti peluang itu akan datang juga,” ujarnya.
Timbalan Perdana Menteri itu turut mengingatkan ahli-ahli UMNO bahawa kekuatan terletak pada prinsip kesetiaan semua ahli dan pemimpinnya.- KOSMO! ONLINE














