PETALING JAYA – Kontroversi membabitkan aktivis Rohingya, Noor Azizah terus menjadi perbualan apabila seorang pengguna Threads memuat naik sekeping gambar lama yang didakwa menunjukkan wanita itu ketika membesar di sebuah kawasan perumahan flat di Sandakan, Sabah.
Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh @Queenbeezoorah di laman Threads, dia menyindir dakwaan Noor Azizah mengenai kesukaran hidup yang dialaminya ketika berada di Malaysia.
Hantaran itu turut memaparkan gambar seorang kanak-kanak yang didakwa Noor Azizah bersama latar belakang blok rumah pangsa.
“Ini gambar zaman kanak-kanak kamu ketika tinggal di ‘hutan konkrit’ dan takut untuk hidup.
“Saya boleh bayangkan betapa ‘dahsyatnya‘ tinggal di flat bersama penduduk tempatan yang mengatakan masakan ibu kamu adalah yang terbaik,” tulisnya secara sinis.
Dia turut mempersoalkan dakwaan Noor Azizah sebelum ini yang menceritakan pengalaman mencari makanan berhampiran tempat pembuangan sampah ketika kecil.
“Adakah sebab itu kamu kata hidup di Malaysia sangat teruk? Mungkin kamu fikir orang yang hidup bersama kamu dahulu tidak akan memahami ucapan kamu dalam bahasa Inggeris?” katanya.
Di ruangan komen, seorang pengguna lain, @Peahlani pula mendakwa Noor Azizah menikmati kehidupan yang lebih baik berbanding sebahagian rakyat Malaysia, namun masih menyebarkan naratif negatif mengenai negara ini di platform antarabangsa.
“Dia lebih bernasib baik daripada ramai rakyat Malaysia, tetapi terus menyebarkan naratif mengelirukan di pentas global. Banyak dakwaannya dilihat tidak jujur dan motif sebenar di sebaliknya terus dipersoalkan.
“Tindakan tegas perlu dipertimbangkan sekiranya dia didapati sengaja menyalah gambarkan fakta, terutama apabila dakwaan itu membabitkan sebuah negara,” katanya.
Terdahulu, ucapan Noor Azizah pada majlis graduasi di Universiti Sydney mencetuskan perdebatan apabila dia mendakwa komuniti Rohingya terus berdepan diskriminasi dan eksploitasi di beberapa negara Asia Tenggara termasuk Malaysia.
Dia turut membangkitkan isu penahanan di pusat imigresen, ucapan kebencian di media sosial serta pemerdagangan manusia. – KOSMO! ONLINE














