MEXICO CITY – Bintang Bayern Munich, Luis Diaz muncul wira Colombia apabila meledak satu gol dan mencipta satu bantuan jaringan untuk memastikan pasukannya memulakan kempen Piala Dunia 2026 dengan kemenangan 3-1 ke atas Uzbekistan dalam aksi Kumpulan K di Stadium Mexico City, sebentar tadi.
Kemenangan itu meletakkan Colombia di tangga teratas kumpulan selepas satu lagi pencabar utama, Portugal sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang Republik Demokratik Congo, awal pagi tadi.
Turun dengan misi memburu tiga mata penuh, Colombia menguasai sebahagian besar permainan sejak wisel permulaan, namun Uzbekistan yang membuat penampilan sulung di pentas Piala Dunia berjaya bertahan dengan baik.
Diaz hampir membuka jaringan pada minit ke-32, namun percubaannya sekadar menggegarkan palang sebelum Colombia akhirnya memecah kebuntuan menerusi Daniel Munoz pada minit ke-39 hasil hantaran pemain sayap itu.
Uzbekistan yang dibimbing legenda Itali, Fabio Cannavaro, tampil lebih berani selepas rehat dan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-57 menerusi Abbosbek Fayzullaev.
Gol tersebut turut mencipta sejarah apabila Fayzullaev muncul pemain pertama Uzbekistan menjaringkan gol pada pusingan akhir Piala Dunia.
Bagaimanapun, kegembiraan wakil Asia Tengah itu tidak bertahan lama apabila Colombia kembali di depan empat minit kemudian menerusi penyudah tenang Diaz selepas Gustavo Puerta merampas bola di kawasan tengah padang.
Ketika Uzbekistan cuba mencari gol penyamaan sekali lagi, Colombia terus mengawal permainan sebelum Jaminton Campaz memastikan kemenangan menerusi jaringan ketiga pada masa kecederaan hasil hantaran tepat Cucho Hernandez.
Keputusan itu memberikan permulaan sempurna buat skuad kendalian Nestor Lorenzo dalam usaha memburu tiket ke pusingan kalah mati, manakala Uzbekistan perlu bangkit pada aksi kedua sekiranya mahu terus menghidupkan peluang dalam saingan Kumpulan K. KOSMO! ONLINE














