KLUANG – Pemergian anggota tentera, Allahyarham Prebet Siti Khadijah Sungip, 24, yang terkorban ketika menyertai latihan membaling grenad di Kem Hobart, Gurun, Kedah semalam diterima dengan penuh reda oleh ahli keluarganya.
Bapanya, Sungip Jais, 65, berkata, anak bongsu daripada tujuh beradik itu mula menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 18 Julai 2025.
Siti Khadijah kemudian ditempatkan di 1 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) di Kamunting, Perak selepas tamat latihan perajurit muda selama enam bulan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Katanya, kali terakhir Allahyarham Siti Khadijah bersama keluarga adalah pada Aidiladha lalu sebelum menyambung tugasnya. Siti Khadijah merupakan satu-satunya anaknya yang menuruti jejak langkahnya sebagai anggota tentera.
“Arwah ada beritahu dia terlibat dalam latihan asas ketenteraan dan latihan membaling bom semalam.
“Kami sekeluarga reda walaupun perginya meninggalkan keluarga sebelum ini untuk berkhidmat kepada negara, namun hari ini dia pulang dengan balutan Jalur Gemilang.
“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu sehingga jenazah anak saya selamat dikebumikan,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Taman Sri Lambak, Kluang di sini hari ini.
Sebelum itu, jenazah Siti Khadijah selamat dikebumikan pada pukul 1.15 tengah hari tadi mengikut istiadat ketenteraan bagi menghargai jasanya dalam pasukan keselamatan.
Jenazah Allahyarham tiba di rumah keluarganya di Taman Sri Lambak pada 12.10 tengah hari sebelum dibawa ke Masjid Nurul Iman untuk disolatkan dengan dipimpin imam Mejar Mohd Azlan Shah Abdul Razak dari Institut Kejuruteraan Medan, Tentera Darat.-KOSMO! ONLINE.














