KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan telah memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan bagi mengembalikan hukuman mati terhadap seorang lelaki yang disabit membunuh serta membakar teman wanitanya yang hamil 18 minggu di Sabak Bernam, tiga tahun lalu.
Tindakan itu diambil selepas Mahkamah Rayuan sebelum ini mengetepikan hukuman mati yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Klang terhadap Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 23, dan menggantikannya dengan hukuman penjara 40 tahun dan 12 sebatan.
Pada 15 Oktober 2025, Mahkamah Tinggi Klang menjatuhkan hukuman gantung sampai mati selepas pemuda itu mengaku bersalah atas pertuduhan membunuh teman wanitanya itu.
Namun, pada 14 Mei lalu, pemuda itu terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Rayuan meminda hukuman berkenaan kepada penjara 40 tahun dan 12 sebatan.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Fakrul didakwa membunuh Nur Anisah Abdul Wahab, 21, di Jalan Sungai Limau antara 8.30 malam 22 Mei hingga 8 pagi 23 Mei 2023.
Peguam bela, Muhammad Nor Tamrin ketika dihubungi media mengesahkan perkara itu.
Ujarnya, pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan itu pada 25 Mei lalu dan pihaknya telah menerima notis berkenaan.
“Anak guam saya tidak akan memfailkan rayuan balas terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.
“Dia menerima keputusan itu dan menganggap penghakiman berkenaan adalah adil, saksama serta tidak mempunyai sebarang kekhilafan yang memerlukan cabaran lanjut,” katanya ketika dihubungi media.
Tambahnya, Muhammad Fakrul kini menjalani hukuman di Penjara Kajang selepas mahkamah memerintahkan tempoh pemenjaraan bermula dari tarikh dia ditangkap pada 24 Mei 2023. – KOSMO! ONLINE














