DUNGUN – Seorang wanita berusia 57 tahun putus kaki kiri selepas kenderaan utiliti sukan jenis Proton X50 terlibat dalam kemalangan di Kilometer 341.5, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Paka, di sini semalam.
Kemalangan pada pukul 5.41 petang itu turut mencederakan empat lagi penumpang kenderaan tersebut yang dipercayai terdiri dalam kalangan ahli keluarga mangsa.
Komander Operasi Bomba dan Penyelamat Paka, Nor Hazamullah Abdullah berkata, sewaktu kejadian, wanita tersebut bersama ahli keluarganya dikatakan dalam perjalanan ke Kuantan, Pahang dari Kuala Terengganu.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian kenderaan Proton X50 dinaiki seorang lelaki dan empat wanita termasuk mangsa dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas merempuh pembahagi besi lebuh raya.
“Rempuhan itu menyebabkan serpihan pembahagi besi lebuh raya tersebut memasuki kenderaan mereka lalu terkena kaki kiri mangsa,” katanya di sini, hari ini.
Nor Hazamullah berkata, sepasukan aggota bomba telah bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat nahas berkenaan.
Beliau berkata, kesemua mangsa telah dikeluarkan dengan selamat termasuk wanita yang putus kaki tersebut. – KOSMO! ONLINE














