PETALING JAYA – “Saya tak balik rumah, tiga hari tidur di sini sahaja.”
Demikian kata Azman Abdul Aziz, 57, bapa saudara kepada Nur Izzati Humaira Azizul, 19, yang masih hilang selepas dipercayai sesat ketika menuruni Bukit Changkat Asa, Hulu Selangor sejak Jumaat lalu.
Menurut Azman, ahli keluarga masih setia berada di lokasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang kini memasuki hari keempat demi menunggu sebarang perkembangan positif mengenai kehilangan remaja terbabit.
Menurutnya, pasukan SAR mula memasuki kawasan pencarian sekitar pukul 9.50 pagi tadi bersama kira-kira 10 anggota sebelum beberapa lagi anggota Unit Pengesan (K9) dijangka menyertai operasi tersebut.
“Mereka masuk secara perlahan dan tidak menggunakan laluan trek biasa. Kawasan pencarian juga diperluaskan kerana bentuk muka bumi di sini agak tinggi dan mencabar,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Azman berkata, sehingga kini pihak keluarga masih belum menerima sebarang petunjuk baharu mengenai keberadaan Nur Izzati.
“Kami terus tunggu dan berharap. Setakat ini belum ada berita lagi,” ujarnya.
Beliau turut menafikan dakwaan tular di media sosial yang mendakwa terdapat suara gelak ketawa didengari di kawasan pencarian seperti yang tersebar malam tadi.
“Benda itu memang tidak betul,” katanya kesal.
Azman berkata, keluarga bersama penduduk setempat turut mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin setiap malam bagi memohon dipermudahkan urusan pencarian.
“Semua orang buat solat hajat dan bacaan Yasin. Malam tadi pun ada dan malam ini insya-Allah diteruskan lagi,” jelasnya.
Menurut Azman yang berasal dari Felda Trolak Utara, Sungkai, dia memilih untuk terus berada berhampiran kawasan operasi sejak hari pertama kehilangan anak saudaranya itu.
Nur Izzati sebelum ini dilaporkan sesat selepas terpisah daripada lima rakan serta ahli keluarganya ketika menuruni Bukit Changkat Asa, Hulu Selangor.
Pegawai Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Azliza Ahmad berkata, radius kawasan pencarian SAR Nur Izzati diperluaskan kepada 0.5 kilometer persegi semalam. – KOSMO! ONLINE














