PETALING JAYA – Tindakan seorang lelaki dipuji selepas membantu seorang warga emas yang mengalami masalah kewangan ketika melawat isterinya di sebuah hospital.
Menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Threads oleh Yusof.Adnan, dia menceritakan pengalamannya bertemu dengan seorang lelaki warga emas yang menyapanya di kawasan parkir Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur.
Menurutnya, warga emas yang menunggang sebuah motosikal itu kelihatan teragak-agak sebelum memberanikan diri untuk meminta bantuan bagi mengisi minyak kenderaannya.
“Dik maaf saya nak minta tolong sikit, bukan apa minyak motor saya tinggal sikit dan isteri kecemasan masuk sini, saya belum gaji’,” kata warga emas itu.
Lelaki tersebut kemudian terus mengambil wang tunai RM10 di dalam keretanya, cempedak goreng serta sebungkus bingka ubi kepunyaan isterinya yang tidak dimakan.
“Aku capai duit, cempedak goreng tengah hari tadi dengan satu bungkus bingka ubi yang isteri aku tak lalu makan.
“Aku pergi ke arah pak cik sambil serahkan tiga barang tadi dan tanya pak cik ada QR tak?,” jelasnya.
Namun, warga emas tersebut tidak mempunyai akaun kod QR namun mengingati nombor akaun banknya.
“Alhamdulillah, kurang sikit rasa bersalah sebab aku tak rasa cukup RM10 dengan situasi dia belum gaji dan isteri dia berada di kecemasan,” tambahnya lagi.
Warga emas tersebut mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepadanya dan berjanji untuk mengganti semula duit yang dipinjam apabila gajinya diterima.
“Kami berpelukan dan sempat pesan dengan pak cik jaga diri, dan hati-hati. Ulang-ulang pak cik ni cakap terima kasih…aku cuma minta dia doakan anak dan isteri aku saja,” jelasnya lagi.
Hantaran tersebut mengundang pelbagai reaksi positif daripada pengguna yang rata-ratanya memuji tindakan murni lelaki tersebut dan mendoakan agar urusan kedua-dua pihak dipermudahkan.
“Terima kasih bang sebab jadi manusia yang prihatin,” kata Faraa1692.
“Di hospital memang kita boleh ambil pengajaran daripada pengalaman hidup orang. Kadang-kadang ternampak anak kecil tak cukup duit, ada yang lupa bawa tisu basah atau lampin. Jadi, pandang-pandang lah sekeliling tolong mana yang mampu,” tambah _Amalroslan pula. – KOSMO! ONLINE














