fbpx
ARTETA menyeru barisan pemainnya berwaspada dengan segala ancaman ketika melayan kunjungan Atletico Madrid. -AFP

UCL: Arteta tagih magis Stadium Emirates

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LONDON – Arsenal kini berada pada tahap kesiapsiagaan ter­tinggi untuk mengharungi ujian getir menentang Atletico Madrid pada aksi timbal balik separuh akhir Liga Juara-Juara di Stadium Emirates, awal pagi esok.

Kejayaan membenam Fulham 3-0 dalam saingan Liga Perdana Ingge­ris kelmarin menjadi pemang­kin semangat skuad The Gunners, memandangkan itu adalah kali pertama pasukan itu meledak lebih daripada satu gol sejak menewaskan Bayer Lever­kusen pada 18 Mac lalu.

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menegaskan bahawa skuad kendaliannya itu berjaya menghidupkan impian meskipun terpaksa bergelut dengan masalah ketiadaan ramai pemain tonggak, sekali gus menyifatkan pencapaian pasukannya sepanjang musim ini sebagai sesuatu yang luar biasa.

“Kami bakal mengharungi antara perlawanan paling besar dalam sejarah stadium ini di hadapan penyokong sendiri. Kami akan berusaha sehabis baik untuk merealisasikan impian me­langkah ke pentas final,” ujar Arteta.

Dalam aksi menentang Fulham, kepulangan Bukayo Saka dalam kesebelasan utama membuahkan hasil lumayan menerusi satu jaringan, manakala penyerang prolifik, Viktor Gyokeres terus meledak dua gol untuk mengumpul 21 jaringan sepanjang musim debutnya.

Arteta memuji ketajaman Gyokeres yang kini menyamai rekod jaringan Pierre-Eme­rick Aubameyang pada musim 2019/20, sambil menyifatkan aspek kedudukan dan masa larian pemain Sweden itu sebagai kunci utama kepada lonjakan keyakinan pasukan.

“Dia (Gyokeres) beraksi dengan baik dimana dia terbabit dalam setiap serangan. Dia menjaringkan dua gol (menentang Fulham), jadi ia akan beri suntikan semangat buatnya dan juga pasukan,” kata Arteta.

Selepas melayani kunjungan Atletico esok untuk memburu tiket final Eropah pertama dalam tempoh 20 tahun, Arsenal dijadualkan bertandang ke laman West Ham United pada Ahad bagi meneruskan misi memburu kejuaraan liga. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN