fbpx
SEBUAH naskhah komedi romantik, Kata Hati akan menemui penonton di pawagam bermula 4 Jun nanti.

Kata Hati: ‘Filem cinta ringan, tetap sentuh jiwa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KILAUAN dunia glamor sering memukau mata, namun di sebalik semua itu, tersembunyi sisi manusiawi sarat emosi dan rahsia hati. 

Konteks sebegitu yang menjadi teras filem Kata Hati, sebuah naskhah komedi  yang barangkali dekat dengan kehidupan selebriti kini.

Menggabungkan tawa dan air mata, filem terbitan Wayangworks Sdn. Bhd. dan Filmscape Sdn. Bhd. tersebut tampil sebagai karya segar, menyulam kisah cinta luar jangka antara dua dunia, selebriti dan individu biasa-biasa. 

Bawah arahan Nadiah Hamzah, naskhah tersebut bukan semata-mata hiburan, sebaliknya cerminan realiti kehidupan moden.

Katanya, dia sengaja memilih pendekatan lebih ringan selepas mengarahkan beberapa naskhah berat sebelum ini.

“Saya mahu hasilkan filem cinta ringan, tetapi tetap menyentuh jiwa. Nia, Yusof dan Fazziq mungkin masih baharu, namun kesungguhan mereka luar biasa dan komitmen diberikan sangat membanggakan.

“Saya harap penonton dapat merasai kejujuran cinta dipaparkan dan hadir beramai-ramai meraikannya,” tutupnya.

Penerbit, Muhammad Bahir pula mengakui idea penghasilan Kata Hati tercetus daripada pengamatannya terhadap kehidupan sebenar selebriti.

“Sepanjang berada dalam industri, kami bertemu ramai selebriti dan melihat perbezaan antara persona di depan kamera dengan kehidupan sebenar di sebalik lensa.

“Jadi kami mahu menghasilkan kisah di sebalik dunia glamor tersebut, disulam dengan jalan cerita menghiburkan dan dekat dengan penonton.

Kata Hati bukan sekadar kisah cinta, tetapi potret realiti kehidupan sebenar,” katanya kepada HibGlam.

Mengangkat genre romantik komedi, filem tersebut mengisahkan hubungan antara pelakon wanita popular, Ayra Natasha lakonan Nia Atasha dan pemandu e-hailing, Imran Firdaus lakonan Yusof Hashim. 

Konflik bermula apabila kehidupan sempurna Ayra mula retak selepas insiden memalukan menjadi tular, sebelum takdir menemukan dirinya dengan lelaki sederhana tanpa pesona dunia hiburan.

Turut menguatkan naskhah, Fazziq Muqris membawakan watak Zayn Mikhail, selain kehadiran Scha Alyahya, Taqim Zaki dan Norreen Iman. 

Dongeng moden

Lebih mencuri perhatian, filem tersebut juga diserikan penampilan khas barisan pelakon popular seperti Beto Kusyairy, Nabila Huda, Liyana Jasmay, Nina Kho dan Shweta Sekhon.

Penerbit eksekutif, Juliana Foo pula menyifatkan Kata Hati hadir tepat pada waktunya ketika penonton dibanjiri karya aksi dan seram.

“Filem ini membawa nafas ‘dongeng moden’ dengan elemen percintaan berisiko tinggi. Selain menyajikan momen indah, penuh emosi dan dekat dengan hati penonton.

“Penonton pasti akan merasai pengalaman manis bercinta dalam bentuk berbeza,” tutupnya.

Kata Hati sebelum ini menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur dan Kuantan pada Ogos 2025, sebelum dijadual menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 4 Jun 2026.

Tuntasnya, dalam dunia penuh kepura-puraan, Kata Hati menjadi naskhah yang seakan-akan mengingatkan bahawa cinta sejati tidak pernah memilih latar, sebaliknya lahir daripada keikhlasan paling dalam.



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN