PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka kertas siasatan ke atas seorang individu disyaki memuat naik kandungan berunsur palsu di TikTok terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
MCMC berkata, individu tersebut sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan dan satu unit peranti komunikasi yang digunakan untuk memuat naik kandungan tersebut turut disita.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial dan media digital yang bertujuan untuk mengelirukan orang ramai dengan penyebaran maklumat palsu.
“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang,” ujarnya.
MCMC menyeru orang ramai agar sentiasa bertanggungjawab dalam menggunakan platform media sosial dan media digital. – KOSMO! ONLINE














