PETALING JAYA – Tindakan pantas seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sanggup berdepan bahaya ketika kebakaran di Kampung Bahagia, Batu Sapi, Sandakan, meraih perhatian ramai di media sosial.
Dalam kejadian awal pagi semalam, ADUN Sekong, Alias Sani dilihat turun padang membantu penduduk mengawal kebakaran daripada terus merebak dengan mengoyakkan papan-papan yang mudah terbakar di lokasi kejadian.
Perkongsian oleh pengguna Facebook, Fikri Arunarsin memaparkan detik cemas tersebut selain memuji keprihatinan wakil rakyat berkenaan yang bertindak tanpa berlengah ketika situasi genting.
“Semoga Allah S.W.T terus mengurniakan kesihatan, kekuatan dan perlindungan kepada YB Alias Sani, ADUN Sekong, yang sentiasa turun padang bersama rakyat Sekong, khususnya ketika berdepan musibah dan bencana.
“Jasa dan keprihatinan YB amat dihargai serta menjadi sumber kekuatan kepada masyarakat setempat,” katanya.
Malah, tindakan Alias turut mendapat pelbagai reaksi netizen yang menyifatkannya sebagai pemimpin berjiwa rakyat dan berani mengambil risiko demi membantu mangsa.
“Dalam keadaan ramai yang sibuk merakam siaran langsung di TikTok sekitar pukul 6 pagi tadi, beliau tampil menjerit meminta orang ramai merobohkan struktur tertentu bagi mengelakkan api daripada merebak dengan cepat. Namun, hanya segelintir sahaja yang tampil membantu,” kata @Eyman Aishaa.
“Beliau merupakan antara wakil rakyat yang benar-benar berjiwa rakyat. Setiap kali berlaku kejadian, beliau antara yang terawal hadir untuk menghulurkan bantuan,” kata @Juliana.
“Ya Allah, api sudah berada di depan mata. Hebatnya usaha anda semua yang berusaha menyelamatkan walaupun harapan kelihatan tipis. Semoga dipermudahkan urusan YB dan semua yang bertungkus-lumus,” kata @Lyn Mazlinah Mokhtar. – KOSMO! ONLINE














