fbpx
Ruthraganesh (kiri) alumni bidang paip dan pemanasan, Muhammad Nurhasifi (tengah) alumni bidang pemuat jengkaut dan Hafizul Najmi (kanan) bidang pendawai yang kini berjaya dalam kerjaya dan perniagaan masing-masing mencerminkan keupayaan sistem latihan CIDB.

Kisah kejayaan 3 alumni TVET Pembinaan CIDB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA ini, program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjadi pilihan ramai dalam membina kerjaya masa hadapan.

Pembinaan antara program TVET yang boleh diceburi kerana graduan dalam bidang ini diperlukan di dalam industri pembinaan pada ketika ini.

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) melalui Akademi Binaan Malaysia (ABM) menjadi institusi yang menawarkan laluan program TVET di dalam bidang pembinaan.

Malah, ramai alumni di dalam program tersebut telah berjaya dilahirkan.

Pengurus Besar Kanan, Sektor Pendaftaran & Akreditasi CIDB, Suhaimi Mansor berkata, melalui latihan berasaskan kompetensi, pensijilan yang diiktiraf industri serta pendedahan praktikal yang menyeluruh, TVET pembinaan telah melahirkan ramai alumni yang berjaya dan mampu membina kerjaya mampan, menjana pendapatan tinggi serta menyumbang kembali kepada masyarakat dan ekonomi setempat.

Menurutnya, kejayaan alumni TVET Pembinaan ini bukan sahaja mencerminkan keupayaan sistem latihan yang ditawarkan CIDB, malah membuktikan bahawa TVET merupakan laluan kerjaya berdaya saing dan bernilai tinggi.

“Graduan bukan sahaja memenuhi keperluan industri pembinaan yang semakin kompleks, malah berupaya membina keusahawanan sendiri dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu.

“Salah satu contoh kejayaan yang signifikan ialah Ruthraganesh Rangas Paran, alumni bidang Paip & Pemanasan dari Akademi Binaan Malaysia Wilayah Tengah.

“Bermula sebagai pekerja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia menyedari bahawa ketiadaan pensijilan atau kemahiran telah mengehadkan peluang kerjaya dan peningkatan pendapatan,” katanya.

Justeru, penyertaannya dalam Program Latihan Kompetensi Kemahiran (LKK) Belia di ABM pada tahun 2009 menjadi titik perubahan yang membuka laluan baharu dalam hidupnya.

Berbekalkan kemahiran teknikal, disiplin kerja dan keyakinan hasil latihan TVET, Ruthraganesh menubuhkan syarikat sendiri pada tahun 2012 bermula dengan kerja-kerja kecil pembaikan dan penyambungan paip.

Kini, syarikatnya berkembang pesat dan terlibat dalam projek pembinaan serta pengubahsuaian rumah di sekitar Lembah Klang dengan pendapatan bulanan yang stabil.

Lebih membanggakan, dia turut menggaji dan membimbing lepasan ABM lain sehingga ada dalam kalangan mereka yang berjaya membuka perniagaan sendiri.

Kejayaannya turut memberi kesan langsung kepada kesejahteraan keluarga, termasuk menaja sepenuhnya pendidikan adik-beradik sehingga ke peringkat profesional.

Selain itu, Suhaimi berkata, kejayaan Muhammad Nurhasifi Yusof yang merupakan alumni bidang Pemuat Jengkaut dari ABM Wilayah Utara pula membuktikan bahawa kemahiran TVET mampu menjadi pemacu mobiliti ekonomi yang kukuh.

Terangnya, bermula dengan minat mendalam terhadap jentera berat, latihan intensif dan bimbingan tenaga pengajar ABM telah membolehkannya membina kepakaran khusus dalam pengendalian jentera pembinaan.

“Hasil keberanian dan perancangan strategik, dia melabur dalam pembelian jentera sendiri serta menubuhkan Erajaya Global Enterprise.

“Dalam tempoh beberapa tahun, syarikat ini berkembang dengan pemilikan aset utama seperti pemuat jengkaut, lori tipper dan jengkaut bagi menyokong projek-projek infrastruktur termasuk kerja-kerja saliran dan penyelenggaraan sungai,” katanya.

Tambahnya, di samping menjana pendapatan yang tinggi, Muhammad Nurhasifi turut membuka peluang pekerjaan kepada lepasan ABM, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat dan kesejahteraan komuniti.

Sementara itu, kejayaan Hafizatul Najmi Pizat, alumni bidang Pendawai (PW4) dari ABM Wilayah Timur, menggambarkan potensi TVET pembinaan sebagai asas keusahawanan yang melangkaui satu sektor.

Bermula dalam bidang pendawaian elektrik, dia berjaya mengembangkan perniagaan ke pelbagai cabang termasuk pembinaan rumah, perkhidmatan elektrik, peruncitan perkakasan, pengurusan hotel bajet dan perkhidmatan pelancongan.

Suhaimi berkata, dengan pendapatan tahunan mencecah jutaan ringgit, kejayaan anak muda ini bukan sekadar diukur melalui keuntungan semata-mata, malah melalui komitmen terhadap tanggungjawab sosial.

“Program bantuan kepada golongan asnaf, mangsa bencana serta sokongan kepada institusi tahfiz menjadi bukti bahawa kejayaan ekonomi boleh disertai dengan sumbangan bermakna kepada masyarakat.
“Secara keseluruhan, kisah kejayaan alumni ini membuktikan bahawa TVET pembinaan anjuran CIDB bukan sekadar menyediakan kemahiran teknikal tetapi turut membentuk daya kepimpinan, keusahawanan dan jati diri graduan,” ujarnya.

Tambahnya, laluan TVET pembinaan telah berjaya mengubah kehidupan, memperkasa keluarga serta menyumbang kepada pembangunan industri dan ekonomi negara secara mampan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN