KUALA LUMPUR – Dasar Malaysia yang tidak berpihak secara aktif atau neutral dalam mengekalkan hubungan kerja dengan semua rakan dagang utama dilihat menjadi kelebihan komersial buat negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut juga meletakkan Malaysia sebagai rakan yang stabil dalam rantaian bekalan global.
Katanya, menerusi pendekatan tersebut, ia secara tidak langsung membolehkan pembekal dari Malaysia menembusi rantaian bekalan antarabangsa tanpa dibebani komplikasi politik.
“Dalam suasana ekonomi semasa yang mencabar, faktor ini dilihat sebagai satu kelebihan komersial yang signifikan,” katanya pada Majlis Perasmian Pameran Perkhidmatan Pertahanan ASIA (DSA) 2026 & Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, usaha membangunkan industri pertahanan negara terus diperkukuh dengan memberi penekanan kepada keupayaan syarikat tempatan untuk bersaing di peringkat global.
“Syarikat Malaysia bukan sahaja digalakkan untuk mendapatkan tempat dalam rantaian bekalan antarabangsa, malah perlu mengekalkan kedudukan tersebut melalui kualiti kerja dan tahap disiplin yang tinggi.
“Kejayaan memenangi kontrak bukanlah penamat, sebaliknya disiplin dan prestasi berterusan menjadi faktor utama untuk memastikan kontrak terus dikekalkan. Prinsip ini dilihat sebagai asas kukuh dalam membina industri pertahanan yang mampan dan berdaya saing,” ujarnya.
Menurut Anwar lagi, segala keputusan berkaitan aspek komersial terletak pada syarikat, manakal kerajaan memainkan peranan dengan memastikan kualiti asas setiap produk berada pada tahap terbaik.
Edisi ke-19 tahun ini menyaksikan sebanyak 1,456 syarikat pempamer dari 63 negara terlibat dalam edisi kali ini, menunjukkan peningkatan berbanding 1,324 syarikat mewakili 60 negara pada edisi sebelumnya. – KOSMO! ONLINE














