PETALING JAYA – Persidangan flagship sulung anjuran Purple Door (M) Sdn Bhd. iaitu Protect Sarawak 2-26 akan dianjurkan selama tiga hari bermula 28 April ini di The Waterfront Hotel Kuching.
Ketua Pegawai Eksekutif Purple Door, Marsy Sebban berkata, persidangan ini bertepatan dengan masanya kerana ancaman siber kini semakin meningkat bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga global.
Sehubungan itu, dalam mendepani alam era yang mana data peribadi semakin dieksploitasi, dan diperdagangkan, Malaysia akan terus melangkah ke depan dalam membincangkan tentang permasalahan global yang semakin kritikal khususnya mengenai kepercayaan digital.
Menurut beliau persidangan Protect Sarawak 2026 adalah sebuah platform antarabangsa yang meletakkan privasi data dan kepercayaan digital sebagai teras kepada daya tahan ekonomi, keselamatan negara dan keyakinan awam.
“Daripada pelanggaran data berskala besar dan serangan ransomware kepada penipuan berasaskan kecerdasan buatan dan kecurian identiti, individu serta organisasi kini berdepan tahap pendedahan yang belum pernah berlaku sebelum ini dalam dunia yang semakin digital.
“Apa yang dahulunya dianggap isu teknikal kini telah menjadi isu masyarakat.
Privasi data bukan lagi sekadar pematuhan. Ia adalah tentang perlindungan manusia, perlindungan ekonomi dan perlindungan kepercayaan,” katanya dalam kenyataan.

Marsy menjelaskan, Protect Sarawak akan negeri itu bukan sekadar sebagai tuan rumah, tetapi sebagai platform dialog global dan kepimpinan serantau dalam kepercayaan digital.
Tambah beliau, seiring dengan kepesatan transformasi digital merentas industri dan sempadan, risiko turut berkembang dengan pantas.
“Kebangkitan kecerdasan buatan, aliran data rentas sempadan dan sistem yang saling berhubung telah mewujudkan kerentanan baharu, yang sebahagiannya melangkaui keupayaan peraturan dan kesiapsiagaan institusi sedia ada.
“Di sinilah perbualan perlu berubah. Bukan sahaja daripada kesedaran kepada tindakan, tetapi daripada reaksi kepada kepimpinan,” ujarnya.
Marsy menerangkan, persidangan tersebut akan menghimpunkan suara global dan serantau untuk membincangkan bagaimana kerajaan, perniagaan dan institusi perlu menilai semula tadbir urus data, memperkukuh rangka kerja keselamatan siber dan membina semula kepercayaan dalam sistem digital yang menjadi sandaran berbilion pengguna setiap hari.
“Kita bukan lagi sedang bersedia menghadapi risiko digital; kita sudah pun berada di dalamnya. Setiap pelanggaran, setiap penipuan, setiap penyalahgunaan data menghakis kepercayaan. Tanpa kepercayaan, ekonomi digital tidak dapat berfungsi.”
“PROTECT Sarawak 2026 adalah tentang mengubah naratif. Privasi data bukan sekadar keperluan peraturan, ia adalah tanggungjawab. Kepercayaan digital bukan sekadar konsep, ia adalah jangkaan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE














