DISIPLIN, kepimpinan, ketahanan mental dan keberanian membuat keputusan pantas sering dikaitkan dengan dunia ketenteraan.
Bagi Mejar (Bersara) Hasrul Taufek Roslan, 44, nilai-nilai itulah yang kini menjadi senjata utama dalam membina empayar ilmu digital sehingga berjaya melahirkan ribuan usahawan e-book di dalam dan luar negara.
Veteran tentera yang lebih dikenali sebagai Master Shiro itu bukan nama asing dalam kalangan komuniti penerbitan digital tanah air.
Namun, di sebalik kejayaannya sebagai usahawan dan tokoh pembangunan komuniti digital, mungkin ramai tidak mengetahui anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu pernah menyarung seragam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selama 16 tahun.
Ditauliahkan pada tahun 2006 sebagai anggota dan menamatkan perkhidmatan pada 2022 sebagai Mejar Bersara, kehidupan sebagai pegawai tentera bukan sekadar mematuhi arahan, sebaliknya membina keupayaan memimpin, membuat keputusan tepat serta memastikan setiap misi dapat dilaksanakan dengan sempurna.
“Nilai-nilai tersebut menjadi asas penting ketika saya mengambil keputusan besar untuk meninggalkan dunia ketenteraan. Kemudian, barulah saya berani memulakan perjalanan baharu dalam bidang keusahawanan digital,” ujarnya.
Kini, Mejar Hasrul aktif sebagai usahawan digital dan Pengerusi Kumpulan MSGA Sdn. Bhd. iaitu sebuah organisasi yang memberi fokus kepada pembangunan industri penerbitan e-book, latihan keusahawanan digital, pembangunan komuniti e-bookpreneur serta jaringan pendidikan dan teknologi di peringkat global.
Di sebalik imej seorang veteran tentera, Mejar Hasrul sebenarnya turut memiliki latar akademik yang luas.

Dia mempunyai Sarjana Eksekutif Pengurusan Teknologi daripada Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), selain Diploma Pengurusan Perkhidmatan Makanan daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Mejar Hasrul juga memiliki pensijilan kemahiran menerusi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dalam bidang Penyeliaan Operasi Makanan dan Minuman serta Perkhidmatan Sokongan Penerbitan di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Malaysia.
Menyentuh mengenai minat dalam dunia penulisan digital, dia berkata, ia bermula apabila melihat ramai individu memiliki pengalaman, ilmu dan kepakaran yang bernilai, namun tidak tahu cara mendokumentasikan dan menjadikannya aset digital.
Dari pemerhatian itu, dia mengambil langkah membina sebuah ekosistem yang membantu masyarakat menghasilkan e-book, membina jenama peribadi dan memiliki domain sendiri serta menjadikan ilmu sebagai sumber pendapatan jangka panjang.
Keberaniannya bermula dengan satu misi kecil, akhirnya berkembang menjadi sebuah komuniti global apabila lebih 5,000 penulis dan usahawan e-book aktif berjaya dilahirkan dengan melibatkan penyertaan dari 24 negara.
Baginya, angka bukan hanya pencapaian peribadi, sebaliknya bukti bahawa masyarakat kini semakin bersedia menerima perubahan dunia digital berasaskan ilmu.
“Saya percaya apabila seseorang memiliki kedai e-book sendiri, individu tersebut sebenarnya sedang membina identiti profesional, jenama peribadi dan aset digital yang mampu berkembang untuk jangka panjang.
“Cabaran terbesar kini bukan membina sistem atau teknologi, sebaliknya mengubah cara berfikir masyarakat supaya lebih bersedia menerima perubahan.
“Masih ramai yang melihat penulisan dan penerbitan digital sekadar aktiviti sampingan, sedangkan bidang ini mempunyai potensi ekonomi besar,” katanya.
Mejar Hasrul turut mempunyai Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) yang diperkenalkan JPK dalam usaha menyokong kerajaan mengiktiraf pengalaman kerja serta kemahiran.
“Saya mendapat pendidikan kemahiran skim PPT bagi SKM Tahap 3 dalam bidang penyeliaan makanan dan minuman.
“Walaupun tidak memanfaatkannya sebagai karier, namun setiap kali ada majlis, saya terlibat dan menggunakan kemahiran yang ada.
“Saya juga mempunyai SKM Tahap 3 Perkhidmatan Sokongan Penerbitan selepas melalui penilaian selama dua bulan berasaskan pengalaman kerja mengikut Standard Pekerjaan dan Kemahiran Kebangsaan (NOSS),” katanya.
Tambahnya, ilmu diperoleh banyak membantunya dalam pengurusan operasi, penyeliaan kerja, pembangunan sistem latihan serta penghasilan kandungan penerbitan digital yang lebih tersusun dalam sistem MSGA Evenschise.
“Perkhidmatan sokongan penerbitan memberi kelebihan kepada saya untuk membimbing penulis dari aspek penerbitan, dokumentasi, pengurusan bahan penerbitan, penyuntingan dan proses penghasilan kandungan,” ujarnya.
Melalui MSGA, Mejar Hasrul kini aktif menganjurkan pelbagai seminar, bengkel dan program pembangunan usahawan digital termasuk AI Fun Lab, latihan keusahawanan serta jaringan perniagaan ASEAN dan global.















