SEKIAN lama menghilang dari dunia seni, penyanyi Pija Yasin rupa-rupanya berdepan episod getir apabila bergelut dengan gangguan mistik pada awal tahun ini.
Tanpa mengetahui punca sebenar atau individu yang cuba menjatuhkannya, Pija bagaimanapun berjaya bangkit melawan ketakutan, sekali gus keluar daripada fasa kelam tersebut.
Selain membuat kemunculan semula, perubahan ketara turut dilihat apabila Pija kini tampil manis bertudung, menandakan penghijrahan diri yang berlaku selepas melalui pengalaman mencabar berkenaan.
Kemunculannya bukan hanya sekadar mahu menceritakan kisah mistik, Pija atau nama sebenarnya Norafizah Mohd. Yasin turut meluahkan hasratnya untuk menyertai program realiti Astro, Gegar Vaganza sebagai langkah awal untuk memperkenalkan dirinya semula kepada khalayak.
“Sekarang saya semakin aktif dalam TikTok sebab insya-Allah kalau diberi peluang saya nak masuk Gegar Vaganza (GV).
“Saya rasa GV adalah platform sangat baik untuk saya kalau diberi peluang dengan Astro kan.
“Saya nak sangat, memang rindu gila nak buat persembahan,” katanya kepada HibGlam.
Pada masa sama, wanita berusia 38 tahun itu tidak gentar dengan kritikan daripada netizen dan juga juri kerana menganggap setiap teguran sebagai ruang untuk memperbaiki diri.
“Saya budak pertandingan realiti, saya terimalah kritikan (netizen). Tak boleh koyak dengan benda itu.
“Kalau orang kata sumbang, tak apalah. Tapi saya rasa platform itu baru dapat belajar sebab saya masih mencari ilmu.
“Saya terima saja teguran, termasuk daripada juri sebab saya nak belajar lagi,” ujarnya lagi.
Berkongsi lanjut, juara Mentor musim pertama itu mengakui kehidupannya kini tidak mudah, lebih-lebih lagi apabila menggalas tanggungjawab sebagai ibu tunggal.
“Terus-terang saya memang ‘struggle’. Tapi saya percaya Allah bagi rezeki.
“Rezeki anak-anak sentiasa ada. Itu yang buat saya yakin, sampai sekarang masih lagi berdiri dan kekal cantik.
“Saya tak naklah nanti struggle, tapi nampak buruk. Kalau boleh selari orang cakap,” ujarnya.
Ditanya mengenai sumber pendapatan, Pija mengakui hanya bergantung kepada hasil yang diperoleh daripada undangan persembahan nyanyian.
Kahwin lagi
“Saya memang buat persembahan sahaja. Orang cakap dekat saya kenapa tak cari orang kaya yang boleh sediakan semua benda.
“Saya ada kawan-kawan yang boleh jadi provider, tapi masalahnya ego pun kuat. Duit boleh cari sendiri tapi bila dapat lelaki yang tak jaga emosi, dengan ada anak lagi kasihan mereka.
“Kita kena gembira walaupun kena cari duit sendiri,” luahnya.
Bagaimanapun, Pija tidak menutup pintu hati untuk kembali berumah tangga sekiranya dipertemukan dengan lelaki yang benar-benar memahami dirinya.
“Tapi kalau ada lelaki yang betul-betul sediakan semua yang boleh jaga emosi, tahu tanggungjawab saya terbuka.
“Saya tak serik kahwin. Saya nak, siapa kata kita tak nak? Memang nak berumah tangga dan teman hidup.
“Sekarang pun saya dah rasa sunyi tapi benda itu tak menjadi masalah sebenarnya sebab kadang-kadang satu kelebihannya kalau nak pergi mana-mana tak ada orang marah.
“Bagi saya, nasihat kepada semua perempuan lebih baik kita cari kebahagiaan kita sendiri. Insya-Allah kebahagiaan itu akan datang sendiri,” katanya lagi.














