fbpx
Tangkap layar video yang dimuat naik di Threads oleh @Zulainnnn memaparkan situasi gelap dan terkunci di sebuah kedai serbaneka.

‘Check’ dulu ada pelanggan atau tidak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang wanita berdepan detik cemas apabila terperangkap di dalam sebuah kedai serbaneka selepas kakitangan premis tersebut bertindak menutup lampu dan mengunci pintu utama lebih awal daripada waktu operasi sepatutnya.

Menerusi satu hantaran di Threads oleh Zulainnnn berkata, pihak premis melakukan tindakan tersebut tanpa memberikan sebarang notis awal kepada pelanggan yang masih berada di dalam premis.

“Waktu itu baru 9.45 malam. Tanpa sebarang notis, terus tutup lampu dan kunci pintu. Sekurang-kurangnya periksa lah dulu ada pelanggan lagi atau tidak,” katanya.

Menurutnya, dia terpaksa menghubungi suaminya untuk memaklumkan kepada pekerja di tingkat bawah bahawa masih ada pelanggan yang berada di atas.

Lebih mengecewakan, pekerja tersebut didakwa tidak memohon maaf atas kecuaian tersebut selepas pintu telah dibuka semula.

“Dia datang tanpa minta maaf pun. Bayangkan kalau saya tidak bawa telefon masa itu,” ujarnya.

“Kalau kena dekat budak-budak macam mana? Kena tunggu sampai esok ke baru boleh keluar?,” jelasnya.

Rata-rata pengguna turut menyuarakan kebimbangan terhadap kejadian tersebut terutamanya dari aspek keselamatan.

Kata pengguna @Lady_Kru, situasi gelap dan terkunci boleh menyebabkan kebimbangan melampau (anxiety) atau serangan panik bagi individu tertentu.

“Bayangkan orang yang ada ‘anxiety’ kena kunci tiba-tiba dalam kedai yang gelap macam itu? Bahaya ye,” katanya.

Pelanggan tersebut memaklumkan bahawa dia telah mengemukakan aduan rasmi melalui e-mel kepada ibu pejabat syarikat berkenaan bagi memastikan kejadian serupa tidak berulang kepada pelanggan lain, terutamanya kanak-kanak atau warga emas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN