BERAKSI secara backflip di antara dua puncak gunung merupakan antara ‘bucketlist’ yang perlu dilakukan oleh setiap peminat sukan lasak.
Di Malaysia, antara lokasi yang menawarkan pengalaman tersebut adalah Gua Ikan, Dabong, Kelantan. Gunung itu menawarkan puncak tertinggi untuk aktiviti tersebut di Semenanjung Malaysia.
Salah seorang penggemar aktiviti lasak, Diana Shafira Faizal Parish berkata, dia teruja apabila berjaya melakukan aksi tersebut pada Oktober tahun lalu.
“Saya diberitahu bahawa ketinggian puncak di Dabong tiga kali ganda dari yang pernah saya cuba di Batu Cave (Selangor).
“Ketinggian puncak di Dabong dianggarkan sekitar 230 meter dari aras laut, jadi saya sangat teruja untuk mencabar kemampuan diri menawan ketinggian baharu itu.
“Oleh itu, saya mengikuti aktiviti anjuran FZ Climb Recreation X Adren X bersama 30 lagi peserta lain baru-baru ini,” katanya kepada CitaRasa.
Aktiviti dimulakan pada waktu pagi, di mana para peserta dibahagikan kepada tiga kumpulan sebelum melakukan aktiviti memanjat lereng atau via ferrata.
Via ferrata adalah perkataan bahasa Itali bermaksud ‘laluan besi’ yang merujuk kepada trek khusus untuk aktiviti memanjat sambil berpaut pada dinding atau lereng berbatu curam di sekitar gunung.
Setelah tiba di bahagian puncak, peserta dikehendaki melakukan aktiviti zip line untuk ke puncak seterusnya.
Menariknya, peserta boleh berhenti seketika di tengah laluan untuk merakam gambar dan menikmati pemandangan indah dari sudut unik.
Kesempatan itu diambil oleh Diana Shafira untuk melakukan aksi backflip yang viral di internet bagi menambahkan lagi tahap adrenalinnya.
Pihak penganjur turut menyediakan perkhidmatan dron untuk merakam gambar dan video peserta, sekali gus menjadikan pengalaman itu lebih bermakna.
Menurut wanita berusia 26 tahun itu, aksi tersebut memerlukan kekuatan otot teras dan kawalan badan.
“Semasa melakukan backflip di via ferrata Dabong, saya perlu mencuba dua kali kerana percubaan pertama gagal mengangkat kaki dengan betul akibat kedudukan tali yang lurus dan menegak.
“Pada percubaan kedua, saya berjaya melengkapkan gerakan tanpa sebarang senaman khusus, hanya bergantung pada pengalaman tubuh saya,” katanya.
Setelah selesai bergambar, peserta tiba di puncak seterusnya, sebelum menuruni tebing dengan melakukan aksi abseiling.
Peserta juga perlu mengawal pergerakan ketika melalui laluan yang sempit serta tidak stabil serta kawasan semak sempit di antara pokok dan ranting.
Sekiranya kedudukan kaki atau tangan tergelincir sedikit, peserta boleh terjatuh dan mengalami lebam pada anggota badan.
Walaupun risiko terjatuh sentiasa ada, namun pihak penganjur sentiasa memastikan semua tali dan peralatan keselamatan berkualiti tinggi.
Bagi Diana Shafira, cabaran paling besar sepanjang aktiviti berkenaan adalah cuaca panas membahang yang membakar kulit peserta sepanjang aktiviti.
“Saya sampai agak awal, jadi saya masuk batch kedua. Panas sangat-sangat, dan kami tidak dibenarkan membawa air atau beg semasa memanjat.
“Semua beg terpaksa ditinggalkan di checkpoint berhampiran tempat kami turun. Jadi, kami rasa seperti ikan kering terkena panas matahari ketika di atas tebing,” katanya.














