fbpx
RAMAI pengusaha van sekolah yang menggunakan bahan api petrol terkesan kerana penggunaan melebihi kuota subsidi 200 liter sebulan.

200 liter tak cukup, 600 liter kami tanggung sendiri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kira-kira 2,000 pengusaha bas dan van sekolah yang menggunakan petrol berdepan tekanan kos apabila penggunaan bahan api mereka dianggarkan mencecah hingga empat kali ganda berban­ding kuota subsidi 200 liter sebulan ditetapkan menerusi program Budi Madani RON95 (Budi95).

Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat berkata, keperluan sebenar bagi kenderaan jenis itu boleh mencapai sekitar 800 liter sebulan berikutan jarak perjalanan tinggi.

Menurutnya, kebanyakan van sekolah bergerak lebih 140 kilo­meter sehari dengan beberapa trip berulang, sekali gus menyebabkan penggunaan petrol jauh lebih tinggi berbanding kuota yang diberikan.

“Kuota 200 liter itu sebenarnya tidak mencukupi kerana keperluan sebenar sekitar 800 liter sebulan. Kita bergerak jauh setiap hari walaupun nampak jarak dekat, tetapi jumlah perjalanan tinggi sebab banyak trip,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan pengusaha terpaksa menanggung baki kos petrol pada harga pasaran semasa, sekali gus memberi tekanan kepada operasi harian mereka.

Menurutnya, antara kawasan yang paling terkesan melibatkan penggunaan petrol dalam kala­ngan pengusaha bas sekolah adalah di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.

Terdahulu, Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan, harga RON97 tanpa subsidi meningkat kepada RM5.35 seliter, manakala RON95 meningkat kepada RM4.27 seliter bagi tempoh 9 hingga 15 April.

RON95 menerusi Budi95 kekal RM1.99 seli­ter.

Amali berkata, pihaknya telah mengemukakan rayuan kepada kerajaan supaya kuota petrol bersubsidi bagi bas sekolah di­selaraskan sekurang-kurangnya setara dengan teksi.

“Janji awal sekitar 400 liter, tetapi setakat ini belum ada pelaksanaan. Kita harap kerajaan percepatkan skim kawalan petrol bersubsidi (SKPS) untuk bas sekolah,” katanya.

Ramai pengusaha van sekolah yang menggunakan bahan api petrol terkesan kerana penggunaan melebihi kuota subsidi 200 liter sebulan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN