PETALING JAYA – Kerinduan mendalam terhadap anak yang maut ketika berada dalam jagaan pengasuh di sebuah taska membuatkan sepasang suami isteri menziarahi pusara bayi itu setiap hari sejak tiga tahun lalu.
Maisarah Rosli, 36, berkata, dia dan suami, Faizul Ali Adam, 36, bertindak demikian kerana terlalu rindu kepada bayi perempuan mereka, Qaseh Aulia yang ketika kejadian baru berusia dua bulan 26 hari.
Katanya, sudah tiga tahun mereka tidak dapat melihat anaknya membesar depan matanya kerana kejadian itu.
“Setiap hari saya menziarahi pusara Qaseh Aulia bagi melepaskan rindu yang tidak pernah padam. Saya bercakap dengannya walaupun saya tahu dia tidak mendengar, tetapi itu cara saya ubati rindu,” katanya dalam nada sebak.
Terdahulu, pasangan itu hadir pada prosiding melibatkan bekas pengasuh bayi malang itu yang dituduh cuai hingga menyebabkan kematian Qaseh Aulia di Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Dalam prosiding itu, Hakim Dr. Syahlizah Warnoh menjatuhkan hukuman penjara lima tahun kepada warga Indonesia, Mulyati Kalim, 54, yang didapati bersalah atas pertuduhan itu.
Kesalahan itu didakwa berlaku di sebuah taska di Kota Damansara di sini pukul 9.40 pagi pada 10 Oktober 2023 yang didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.
Seksyen itu memperuntukkan denda RM50,000 atau penjara 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Faizul Ali menegaskan perjuangan mereka membawa kes itu ke mahkamah bukan untuk membalas dendam sebaliknya mahu menuntut keadilan buat anak mereka.
Katanya, walaupun tiada hukuman yang mampu menggantikan nyawa, mereka tetap menerima keputusan mahkamah dengan hati terbuka.
“Sekurang-kurangnya ia memberi sedikit kelegaan dan menjadi peringatan kepada masyarakat. Kami bukan mahu membalas dendam, tetapi hanya menuntut keadilan,” katanya.
Menurut Faizul Ali, sepanjang tiga tahun kes itu berlangsung, mereka teruskan perjuangan di mahkamah demi keadilan selain memberi kesedaran kepada masyarakat.
“Kami bersyukur dan menghormati keputusan mahkamah, namun kehilangan Qaseh Aulia masih dirasai sehingga kini.
“Saya berharap insiden ini menjadi titik perubahan supaya pihak berkaitan lebih serius dalam menangani isu keselamatan kanak-kanak di taska,” katanya.
Terdahulu, ketika prosiding semalam, Hakim Dr. Syahlizah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan.
Mahkamah memerintahkan hukuman dikenakan dari tarikh sabitan semalam selain tertuduh perlu menjalani bon berkelakuan baik dalam tempoh tiga tahun berserta cagaran RM5,000.
Selain itu mahkamah turut mengarahkan Mulyati menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam dan perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman pemenjaraan.
“Setelah mahkamah mendengar keterangan saksi-saksi serta meneliti hujah daripada kedua-dua belah pihak, mahkamah mendapati pihak pembelaan telah gagal menimbulkan keraguan yang munasabah. Oleh yang demikian tertuduh didapati bersalah sebagaimana dalam pertuduhan,” kata hakim itu.
Pada masa sama, mahkamah turut menolak permohonan pihak pembelaan bagi penangguhan hukuman dan tertuduh akan menjalani hukuman di Penjara Kajang.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khaire memohon mahkamah mengenakan hukuman berat kerana kejadian yang menimpa mangsa disebabkan kecuaian tertuduh sendiri sehingga mangsa kehilangan nyawa.
“Ibu bapa mangsa dalam kes ini menunggu kelahiran Aulia selama lima tahun. Akibat kejadian ini telah memberi kesan pada ibu bapa mangsa yang telah kehilangan anaknya,” katanya.
Kejadian berlaku apabila Qaseh Aulia dikatakan tidak sedarkan diri dipercayai berpunca kesukaran bernafas kerana dibiarkan dalam keadaan meniarap tanpa pengawasan selama sejam.
“Dengan keadaan dibedung, posisi meniarap membuatkan sukar untuk bernafas. Tengok rakaman televisyen litar tertutup, hampir 10 minit Aulia berjuang,” kata ibunya dalam status. -KOSMO! ONLINE















