fbpx
ZETTI ANIZA bersama suaminya, Rosli membuat kerja sampingan demi menyara kehidupan keluarganya.

‘Saya jaga ibu dialisis, bapa uzur, anak OKU dan anak yatim’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bukan ha­nya menjaga ibu bapa yang uzur dan seorang anak kurang upaya (OKU), malah seorang suri rumah memikul tanggungjawab besar me­nguruskan anak saudaranya yang yatim sejak kecil.

Zetti Aniza Abu Bakar, 40, berkata, ibunya yang berusia 70 tahun dan menghidap penyakit tiga serangkai perlu menjalani rawatan dialisis sebanyak tiga kali seminggu selepas disahkan mengalami kegagalan kedua-dua buah pinggang awal tahun ini.

“Sejak ibu disahkan sakit awal tahun ini, kami sekeluarga terpaksa berpindah dari pangsapuri yang kami duduki lebih 20 tahun kerana sukar untuk menguruskan pergerakannya untuk dialisis dari tingkat tiga.

“Kami menyewa rumah teres dengan kadar sewa RM2,300 sebulan. Pangsapuri itu kami sewakan RM700. Bolehlah tampung sewa rumah, adik-beradik pun ada beri duit belanja setiap bulan untuk kos-kos lain seperti lampin pakai buang dan ubat-ubatan. Selebihnya saya tanggung sendiri,” katanya ketika ditemui Kosmo!

Jelasnya, kehidupannya turut tertumpu kepada bapanya berumur 74 tahun selain anak saudaranya kini berumur 17 tahun, selain membesarkan tiga anak kandung.

Katanya, anak sulungnya, Adam Danish Rosli, 17, menghidap autisme ringan yang memerlukan perhatian dan penjagaan khusus serta dihantar ke sekolah berke­perluan khas yang terletak kira-kira 30 minit dari rumahnya.

Jelasnya, dia kini bergantung kepada suami, Rosli Che Mamat, 50, yang bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan sekitar RM2,300 sebulan selain membuat kerja-kerja sampingan pada hujung minggu.

Tambahnya, bagi menampung perbelanjaan keluarga yang semakin tinggi, dia turut membuat kerja sampingan seperti membuat kuih untuk diletakkan di kedai, selain mengambil upah mencuci rumah di sekitar Denai Alam pada kadar RM25 sejam.

Namun, katanya, segala usaha itu masih belum mencukupi kerana perbelanjaan bulanan keluarga melebihi pendapatan semasa.

“Saya bersyukur, masyarakat sekeliling lagi-lagi kariah masjid atau surau sering prihatin dengan kami dengan memberi sumbangan wang atau makanan.

“Kami bukanlah penerima zakat atau mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Cuma rezeki itu memang ada walau cukup-cukup makan, kena berjimat dan kerja keras,” luah­nya sebak.

Menurut wanita itu, keluarga­nya juga belum pernah menikmati kehidupan yang benar-benar selesa, malah mereka sudah lebih enam tahun tidak pulang ke kampung suaminya di Kelantan kerana kekangan kewangan.

“Nasib baik anak-anak bukan jenis meminta kerana mereka faham. Kami memang hidup susah sudah lama, tetapi saya sentiasa fikir positif. Saya percaya rezeki itu Allah yang beri.

“Macam jaga ibu bapa, anggap itu rezeki untuk saya berbakti selagi mereka hidup. Saya tak pernah merungut. Ada orang tak ada rezeki nak jaga ibu bapa mereka, tapi saya diberikan peluang ini,” katanya.

Orang ramai yang ingin meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Affin Bank Islamic Zetti Aniza bernombor 2068 1000 2225 atau hubungi di talian 011-1148 4937. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN