KUALA NERUS – Kerajaan negeri Terengganu masih menilai keperluan untuk melaksanakan bekerja dari rumah (BDR) dalam sektor awam bagi menangani kenaikan harga bahan api pada masa ini ekoran konflik di Asia Barat.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri berkata, keputusan bagi pelaksanaan BDR akan dibincangkan dalam mesyuarat yang akan diadakan tidak lama lagi.
Begitupun, beliau berkata, keperluan BDR tidak begitu mendesak di Terengganu ekoran kesesakan lalu lintas di negeri ini tidaklah ketara berbanding negeri-negeri lain terutama Lembah Klang.
“Suasana di Terengganu berbeza dengan Lembah Klang yang rakyatnya menghabiskan masa berjam-jam di jalan raya, menyebabkan penggunaan minyak lebih kritikal.
“Di Terengganu, suasana (trafik) tidak begitu. Kita masih menilai keperluan BDR dan belum buat keputusan,” katanya ketika ditemui pada Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri memberitahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi taklimat situasi ekonomi semasa sewaktu pertemuan dengan menteri-menteri besar dan ketua menteri pada kelmarin.
Beliau berkata, pertemuan itu juga menjelaskan langkah yang bakal diambil kerajaan Persekutuan dan negeri bagi mengatasi krisis tenaga global ekoran konflik Asia Barat tersebut.
”Kita menilai kesan paling besar kepada pentadbiran kerajaan. Tidak kira kerajaan Persekutuan dan negeri serta swasta perlu bekerjasama supaya kesan tekanan ekonomi dapat diminimumkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














