fbpx
Pengguna yang tidak mahu melalui smart lane ketika kesesakan boleh kekal di laluan biasa, tetapi jangan menghalang kenderaan lain melaluinya. - GAMBAR HIASAN

Bukan tugas lori kawal ‘smart lane’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Penggunaan lorong smart lane di lebuh raya menjadi satu solusi efektif yang dirancang rapi pihak berkuasa bagi mengurangkan kesesakan terutama pada musim perayaan.

Namun, masih wujud pengguna yang gagal memahami fungsi sebenar kemudahan ini dengan menghalang pemandu kenderaan lain untuk melalui lorong itu.

Sebelum ini, segelintir penunggang motosikal yang sering memarahi pemandu kereta menggunakan lorong smart lane kerana menghalang laluan mereka.

Ketika itu, smart lane mula diperkenalkan di Lebuh Raya Baru Lembah Klang pada 2019 sebelum diperluaskan di beberapa lokasi di Lebuh Raya Utara-Selatan.

Mungkin pada waktu itu ramai pengguna yang belum mengetahui pengaktifan lorong smart lane, namun kini kita sudah memasuki tahun 2026.

Sekarang ini, ada pula pemandu lori macam ‘penguat kuasa jalanan’ yang menentukan siapa boleh dan tidak boleh menggunakan lorong tersebut.

Tindakan segelintir mereka membahayakan nyawa orang lain dengan menghalang kenderaan ringan lain memasuki lorong smart lane, malah ada yang cuba menghimpit.

Penulis sendiri pernah berhadapan situasi ini di Lebuh Raya Utara-Selatan ketika dalam perjalanan ke utara pada musim perayaan. Sebuah lori telah menghimpit ke laluan smart lane bagi menghalang pengguna lain melaluinya.

Tindakan itu menyebabkan kenderaan kecil terpaksa mengalah dan memasuki semula laluan biasa.

Beberapa pengguna lain yang pernah melalui kejadian sama turut meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial apabila dihalang kenderaan berat di lorong smart lane.

Bayangkan sebuah lori menghimpit kenderaan kecil di lorong sempit, sedikit sahaja kesilapan, padahnya mungkin berlaku kemalangan maut. Adakah itu yang mahu dibuktikan hanya kerana tidak bersetuju dengan smart lane?

Alasan bahawa penggunaan smart lane akan menyebabkan kesesakan lebih teruk tidak boleh dijadikan justifikasi untuk bertindak sesuka hati. Ia hanya alasan dangkal untuk menghalalkan tindakan sendiri.

Lebih mengecewakan apabila terdapat juga pemandu lain menyokong tindakan ‘songsang’ ini. Hakikatnya, keputusan membuka lorong itu dibuat berdasarkan kajian dan pemantauan pihak berkuasa, bukannya andaian individu.

Jika benar tidak bersetuju, buat laporan melalui platform rasmi, bukannya bertindak sesuka hati di atas jalan raya, seolah-olah undang-undang tidak wujud.

Hakikatnya, smart lane telah terbukti membantu melancarkan aliran trafik. Ia bukan eksperimen kosong, tetapi satu inisiatif yang memberi manfaat kepada ramai pengguna.

Manfaat ini akan menjadi sia-sia jika masih ada pihak yang cuba mensabotaj pelaksanaannya.

Pengguna yang tidak mahu menggunakan lorong smart lane mempunyai pilihan untuk kekal di laluan biasa, namun mereka tidak berhak menghalang pengguna lain daripada memanfaatkan kemudahan yang disediakan.

Jika sikap seperti ini dibiarkan, jangan salahkan sistem atau pihak berkuasa apabila kesesakan menjadi semakin buruk. Puncanya bukan pada kemudahan, tetapi mentaliti pengguna yang enggan berubah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN