fbpx
Dalam berdepan isu tekanan kos sara hidup akibat konflik global, kerajaan wajar melakukan analisis paling rasional dan jujur terhadap situasi semasa.

Antara konflik global dan kebimbangan rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Dalam berdepan isu tekanan kos sara hidup akibat konflik global, kerajaan wajar melakukan analisis paling rasional dan jujur terhadap situasi semasa.

Kegagalan memahami realiti sebenar rakyat bukan sahaja akan menjejaskan dasar, malah berisiko mencetuskan rasa meluat dan menyampah.

Jika tidak ditangani dengan bijak, ia boleh menjadi analisis terakhir apabila ada yang mula muak terhadap apa yang ditafsirkan sebagai ‘poyo’ dan angkuh.

Semua memahami konflik berpanjangan di Timur Tengah bukan sekadar tajuk berita antarabangsa, tetapi tempiasnya boleh tiba di Malaysia.

Kenaikan harga minyak dunia, gangguan rantaian bekalan dan ketidaktentuan pasaran global akan memberi kesan langsung kepada kos sara hidup harian.

Daripada harga barang dapur hinggalah kos pengangkutan, semuanya diramal bergerak naik tanpa menunggu gaji rakyat meningkat sama laju.

Pemimpin sendiri berulang kali mengingatkan rakyat supaya bersedia menghadapi impak global yang tidak menentu ini.

Walaupun tidak disebut secara literal, maknawi mudah difahami iaitu rakyat perlu bersedia berdepan peningkatan kos sara hidup.

Sehingga timbul cadangan yang kedengaran ‘ringan’ seperti menanam sayur sendiri di rumah sebagai langkah berjimat.

Tiada siapa menafikan konflik di Asia Barat memang memberi kesan kepada perbelanjaan isi rumah.

Namun persoalan lebih besar rakyat nak berjimat sampai tahap mana lagi? Majoriti rakyat sudah lama hidup dalam mod berjimat.

Perkara ini juga yang dibangkitkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh tentang jurang antara angka dalam laporan dan realiti di lapangan.

“Mungkin bagi sesetengah orang apabila subsidi di potong, jumlah itu sedikit dan tidak terkesan bagi diri mereka. Mungkin sedikit bagi mereka, sangat besar dan terkesan untuk orang lain.

“Kita minta rakyat berjimat cermat, sedangkan sebelum subsidi mereka ini dipotong, mereka sudah hidup dalam keadaan berjimat cermat apatah lagi subsidi mereka ini dipotong,” katanya.

Kenyataan itu mungkin pedih, tetapi mencerminkan apa yang ramai sedang rasakan.

Begitu juga dalam organisasi perniagaan, ketika pekerja diminta lebih produktif dengan sumber terhad, pihak atasan patut mempunyai analisis yang tepat.

Ramai hanya pandai mengarah berbanding mengayuh, akhirnya perahu tidak laju ke mana, tetapi tenaga yang mengayuh semakin habis.

Mungkin sudah tiba masa untuk melihat semula keseimbangan ini bukan sekadar di peringkat individu, tetapi di seluruh sistem.

Kerana jika semua beban terus diletakkan di bahu rakyat atau pekerja, sampai satu tahap bukan lagi soal berjimat, tetapi soal bertahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN