GEORGE TOWN – Program pemberian baju raya terpakai dahulunya hanya mendapat sambutan dalam kalangan keluarga kurang mampu tetapi kini golongan M40 dan T20 dikatakan sanggup buang perasaan malu semata-mata mahu melengkapkan persiapan hari raya mereka.
Perkara tersebut diakui Penyelaras Projek Raya Sama Rasa, Sharizal Md, Noor apabila lebih 1,000 pakaian baharu dan terpakai yang ditempatkan di Masjid Jamek Al-Ubudiah, Bukit Gedung di sini, turut diambil golongan bekerjaya untuk digayakan pada Syawal nanti.
Menurutnya, penganjuran program buat julung kalinya itu bertujuan meringankan beban yang ditanggung penduduk sekitar terutama yang mempunyai ahli keluarga ramai termasuk mereka yang memerlukan.
“Pemberian pakaian baharu dan terpakai yang disumbangkan orang ramai termasuk pengusaha-pengusaha butik pakaian di daerah ini terbuka untuk semua, tidak kira siapa sahaja dan pelbagai lapisan umur terutama golongan remaja.
“Datang dan ambil sahaja semua pakaian ini, jangan malu. Ada lebih 1,000 pakaian termasuk baju kurung baharu yang masih berlabel harga RM300 serta tudung-tudung baharu dari butik pakaian.
“Sejak dipamerkan pada Jumaat lalu, dianggarkan kira-kira 30 peratus jumlah pakaian mula susut. Malah, mereka yang datang ambil pakaian ini juga bukan biasa-biasa, ada pegawai kerajaan, kontraktor, jurutera kilang dan usahawan,” katanya kepada Kosmo! di sini, semalam.
Jelas Sharizal, dia merupakan anak jati kawasan berkenaan dan mengenali siapa yang datang serta pekerjaan mereka.
Dalam pada itu, katanya lagi, pemilihan lokasi berkenaan sememangnya bertepatan dengan matlamat penganjuran utama program tersebut selain dapat mengimarahkan suasana masjid.














