fbpx
Tarikh sebenar hari raya hanya ditentukan oleh bulan dan awan bila tiba masanya nanti untuk dicerap, bukan cakap-cakap oleh manusia sekarang yang hakikatnya tidak berkuasa pun atas kedua-duanya.- GAMBAR HIASAN

Usah kita ambil kerja bulan dan awan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TARIKH hari raya itu memang ‘fitrahnya’ misteri. Tidak ada sesiapa yang seharusnya benar-benar yakin bila jatuhnya kerana semuanya bergantung penampakan anak bulan pada malam 29 Ramadan dari sesuatu lokasi.

Sabda Rasulullah SAW: Berpuasalah kamu kerana melihat hilal dan berhari rayalah kamu kerana melihat hilal. Apabila hilal terlindung awan daripada pandangan kamu, maka sempurnakanlah bulan itu (30 hari).

Hakikatnya, tiada siapa di antara kita berkuasa ke atas bulan dan awan. Usah terlalu yakin sehingga mendakwa dakwi dan usah juga berteka-teki, raya diumum ‘esok atau lusa’ terima sahaja walau bukan pilihan hati. Jangan pula kita ambil kerja bulan dan awan.

Penentuan awal Syawal sebagaimana yang digariskan Rasulullah adalah nampak anak bulan, sekalipun anak bulan itu ‘wujud’ tetapi kalau kita tidak nampak dari tempat kita kerana terlindung, sebaliknya negara lain yang dekat atau jauh dari kita nampak, maka berbezalah hari raya kita.

Penentuan awal Syawal di Malaysia adalah menggunakan kaedah melihat anak bulan iaitu rukyah (cerapan) dan hisab berpandukan kriteria imkanur rukyah (kebolehnampakan).

Perbezaan hari raya antara negara-negara berjiran atau negara-negara manapun sememangnya boleh berlaku kerana wujudnya perbezaan matlak iaitu perbezaan terbit dan terbenamnya hilal (anak bulan). Matlak hilal merujuk kepada perbezaan tempat atau titik terbit dan terbenam anak bulan yang bergantung lokasi dan geografi.

Selain itu, ia juga bergantung pada penentuan pihak berkuasa agama di negara masing-masing sama ada menggunakan kaedah rukyah sahaja, hisab sahaja atau rukyah dan hisab. Pendek kata, ia juga bergantung kepada ‘iman’ sesebuah negara.

Jika kita Muslim yang taat, kaedah rukyah atau cerapan pada malam dimaksudkan perlu sentiasa diutamakan kerana kaedah itu yang disebut di dalam al-Quran dalam penentuan 1 Ramadan merangkap 1 Syawal, bukan ikut negara orang.

Allah berfirman: “Oleh itu sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan, maka berpuasalah” (Surah Al-Baqarah ayat 185)

Pensyarah Pusat Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Dr Ahmad Irfan Ikmal Hisham pernah menjelaskan kepada media pada 2023, saat kegusaran masyarakat raya mengejut berulang, bahawa penetapan pada kalendar bukanlah suatu yang mutlak.

“Sebab itu sebagaimana berlaku pada tahun lalu (2022), walaupun kebanyakan tempat cerapan hujan dan awan tebal, kami tetap cerap, sebab ini amanah Allah SWT.

“Allah SWT takdirkan anak bulan nampak hanya di satu lokasi daripada 29 tempat cerapan iaitu di Labuan, di situ saja nampak. Prosesnya bukan mudah, mereka (yang lakukan cerapan) disoal siasat, perlu angkat sumpah di hadapan Majlis Raja-Raja. Sebab itu perlu cakna ini urusan agama, tarikh penentuan Syawal ini akhir sekali ditentukan Allah berdasarkan kepada rukyah,” kata pakar astronomi Islam itu.

Mengulas perbezaan dengan negara jiran Indonesia, kata Ahmad Irfan, kaedah digunakan tidak sama kerana mereka tidak mengutamakan proses cerapan seperti dilakukan di Malaysia, manakala negara-negara Arab lebih cenderung raya lebih dahulu kerana terletak di barat. Semakin barat, semakin tinggi peluang melihat anak bulan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN