PETALING JAYA – Permintaan tinggi terhadap inap desa sempena musim perayaan Aidilfitri menjadi lubuk bagi scammer untuk mendapatkan wang secara mudah.
Taktik mereka mudah iaitu menyamar sebagai ejen dan mengiklankan gambar inap desa yang sebenar bagi mengaburi mata pelanggan yang terdesak memerlukan tempat tinggal ketika pulang beraya di kampung.
Lebih membimbangkan, ada penipu yang berani menggunakan akaun sebenar pemilik homestay berserta gambar bilik, tawaran pakej dan nombor telefon bagi meyakinkan mangsa ketika berurusan.
Tinjauan Kosmo! di beberapa platform media sosial seperti Facebook mendapati, aktiviti penipuan inap desa makin rancak menjelang Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut pada minggu hadapan.
Ada penipu yang menyamar sebagai ejen atau orang tengah kepada pemilik inap desa bagi melicinkan kegiatan penipuan mereka sedangkan pemilik asal tidak mengetahui mengenai perkara tersebut.
Seorang pengguna media sosial dikenali sebagai Adila Faish meminta orang ramai terutama golongan perantau supaya berhati-hati sekiranya mahu menempah inap desa sempena musim perayaan tidak lama lagi.
“Saya baru lepas kena scam (tipu), dalam berhati-hati pun kena juga. Tergerak hati nak telefon (hubungi) pemilik sendiri akhirnya terbongkar, homestay pada raya kelima baru kosong.
“Pemilik homestay beritahu dia tidak menggunakan khidmat ejen. Jika tak kesian kami dari jauh datang tengok homestay yang ditempah ada orang (penyewa),” katanya.
Nasib sama turut dialami seorang lagi individu dikenali sebagai Nurul yang nyaris diperdaya pihak scammer yang meminta supaya dia memasukkan wang deposit terlebih dahulu ketika membuat tempahan baru-baru ini.
“Sekarang ini scammer makin bersepah (berleluasa). Minta tolong sesiapa yang hendak tempah homestay supaya berhati-hati.
“Jika pemilik minta bayar deposit lebih RM200 berhati-hati jangan terus bayar, (sebaliknya) selidik dahulu. Saya dah terkena suruh bayar deposit cepat-cepat (segera) sebab alasannya sudah ada orang lain yang bertanya.
“Siapa yang bayar wang deposit dahulu akan diutamakan, jadi hati-hati semua,” kongsinya.
Seorang lagi mangsa penipuan Ain Qistina Sabri berkongsi dia kerugian RM180 selepas diperdaya individu yang menyamar sebagai pemilik inap desa.
“Saya tempah homestay untuk raya pada 20 hingga 22 Mac. Ada tiga buah rumah yang masih kosong. Saya mesej individu (penipu) tersebut meminta maklumat lanjut dan dia memberikan maklumat palsu seperti gambar homestay orang lain.
“Saya minta alamat rumah, namun dia hanya kongsi nama taman dan lokasi taman perumahan bukan lokasi rumah yang tepat. Dia desak saya supaya membayar deposit RM180 selepas memberikan invois yang meragukan,” ujarnya.
Jelas wanita itu, selepas membayar wang deposit scammer tersebut terus mendesaknya supaya membayar baki keseluruhan berjumlah RM260.
“Saya mula rasa ragu-ragu, jadi saya buat keputusan untuk tidak membayar baki tersebut. Dia juga mengabaikan mesej selepas saya meminta supaya memulangkan semula wang deposit,” katanya. -KOSMO! ONLINE














