RAUB – Dua beradik yang menjadi yatim piatu dalam sekelip mata selepas ibu bapa dan tiga adik mereka maut dalam kebakaran di Ulu Dong di sini pada 26 Februari lalu kembali ke asrama masing-masing untuk meneruskan pengajian kelmarin.
Bapa saudara mereka, Mohd. Azmi Adam @ Ibrahim, 40, berkata, Ruby Adalia Balqis Mohd. Alawi, 19, pulang ke Kolej Matrikulasi Gambang, manakala adiknya, Ahmad Balia Murqam, 15, kembali asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Dong semalam.
Kepulangan dua beradik tersebut dijemput oleh pihak kolej dan sekolah dengan kenderaan yang disediakan oleh guru serta pensyarah.
“Walaupun emosi mereka masih belum stabil, hakikatnya perjuangan dalam pelajaran perlu diteruskan.
“Saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk menjaga kebajikan dua anak saudara selepas tragedi yang menimpa keluarga mereka,” katanya ketika ditemui di Kampung Tamalian, Pamah Kulat di sini, semalam.
Menurutnya, sebelum pulang ke asrama, dua beradik itu sempat menziarahi kubur ibu bapa serta tiga adik mereka. Sejak kejadian tragis itu, Ruby dan Ahmad Balia mengunjungi pusara ahli keluarga mereka setiap hari bagi melepaskan rindu.
“Sebelum ini Ruby seorang yang ceria dan suka bercakap, tetapi sejak kejadian (kebakaran) itu dia bertukar menjadi pendiam. Ahmad Balia pula memang kurang bercakap. Kami faham kesedihan yang sedang mereka tanggung,” katanya.
Tambahnya, Ahmad Balia juga masih belum membuat persiapan untuk melanjutkan pengajian ke Maktab Rendah Sains Mara Bentong yang ditawarkan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
“Saya sendiri tidak bertanya lanjut. Sebagai penjaga, saya sokong apa jua keputusan yang akan dibuat mereka,” katanya.
Tambahnya, sesi kaunseling bagi memulihkan emosi dua beradik tersebut masih diteruskan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan hospital selain kerjasama pihak sekolah dan kolej matrikulasi.
Sebelum ini negara dikejutkan dengan kebakaran di sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong di sini yang meragut nyawa lima beranak.














