PERKEMBANGAN teknologi ketenteraan memainkan peranan penting dalam konflik moden termasuk ketegangan dan konfrontasi antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) pada masa ini.
Peperangan ini bukan sekadar pertembungan kekuatan tentera konvensional, tetapi turut memperlihatkan persaingan dalam bidang teknologi seperti dron, peluru berpandu balistik, peperangan siber, kecerdasan buatan (AI) dan sistem pertahanan udara.
Analisis oleh media antarabangsa dan pakar pertahanan menunjukkan bahawa perang moden antara kedua-dua negara memperlihatkan peralihan kepada strategi ‘teknologi tinggi dan kos rendah’, di mana sistem automasi dan dron memainkan peranan semakin dominan.
Menurut pembantu penyelidik di Institut Keamanan AS, Andrew Hanna, salah satu elemen utama dalam konflik ini ialah penggunaan dron secara besar-besaran.
“Iran telah membangunkan pelbagai jenis dron tempur, termasuk dron kamikaze atau ‘loitering munition’ yang mampu menyerang sasaran secara autonomi.
“Dalam konflik terkini, Iran dilaporkan melancarkan ribuan dron terhadap sasaran tentera Amerika dan sekutunya, sekali gus menimbulkan cabaran kepada sistem pertahanan udara moden,” katanya dalam satu artikel di portal Institut Keamanan AS.
Tambahnya, dron murah seperti model Shahed mampu terbang rendah dan perlahan, menjadikannya sukar dikesan radar serta memaksa pihak lawan menggunakan peluru berpandu pemintas yang jauh lebih mahal untuk menembaknya.
Pakar pertahanan menyifatkan strategi ini sebagai ‘asymmetric warfare’ atau peperangan tidak simetri.
Dalam konteks ini, Iran menggunakan senjata yang lebih murah tetapi dalam jumlah besar bagi mengatasi teknologi mahal milik negara maju.
Analisis pakar industri dron turut memberi amaran bahawa serangan dron secara berkelompok atau ‘swarm attack’ berpotensi menewaskan sistem pertahanan kapal perang atau pangkalan tentera jika jumlahnya cukup besar.
Kata Hanna lagi, selain dron, Iran juga memberi penekanan besar kepada pembangunan peluru berpandu balistik.
“Program peluru berpandu negara itu dianggap sebagai tulang belakang strategi pertahanan dan pencegahan terhadap ancaman luar,” katanya.
Kongsi Hanna, beberapa sistem peluru berpandu Iran dilaporkan mampu mencapai jarak sehingga kira-kira 2,000 kilometer, membolehkan sasaran di seluruh Asia Barat diserang jika berlaku konflik besar.
“Ini termasuk peluru berpandu jarak sederhana seperti Shahab-3 dan Sejjil yang mampu membawa kepala peledak konvensional berkuasa tinggi,” terang Hanna.

Bagaimanapun, Amerika Syarikat (AS)masih memiliki kelebihan besar dari segi teknologi ketenteraan konvensional.
AS mempunyai armada tentera laut terbesar di dunia, sistem pesawat tempur generasi kelima seperti F-35 serta pengebom stealth B-2 yang mampu menembusi pertahanan udara musuh.
Menurut bekas profesor dalam program Angkatan Angkasa di Universiti Johns Hopkins dan pegawai bersara dalam Tentera Udara AS, Brent David Ziarnick, dalam operasi ketenteraan terkini terhadap Iran, AS dilaporkan menggunakan kombinasi pesawat stealth, peluru berpandu Tomahawk dan dron serangan bagi memusnahkan sasaran strategik seperti tapak peluru berpandu dan kemudahan tentera bawah tanah.
“Peperangan moden antara kedua-dua negara turut melibatkan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan sistem pengesanan satelit.
“Dalam operasi ketenteraan yang digelar ‘Operation Epic Fury’, sistem sensor inframerah satelit digunakan untuk mengesan pelancaran peluru berpandu secara masa nyata,” kata Ziarnick dalam satu temu bual bersama portal The Post.
Katanya, maklumat ini membolehkan sistem pertahanan udara atau serangan balas dilaksanakan dengan lebih pantas dan tepat.
Seperti dilapor Guardian, penggunaan AI tools juga telah mengurangkan masa dan memudahkan proses membuat keputusan manusia. AS dan Israel dikatakan telah menggunakan AI dalam menentukan lokasi sasaran ke atas Iran.
“Mesin-mesin AI menyediakan cadangan lokasi sasaran, yang mana ia jauh lebih cepat daripada kepantasan manusia berfikir,” lapor media itu.
Gabungan teknologi satelit, analisis data dan AI ini membolehkan tentera memproses maklumat medan perang dengan cepat, sekali gus meningkatkan keberkesanan operasi.
Satu lagi inovasi yang kian mendapat perhatian dalam perang kali ini ialah penggunaan senjata tenaga terarah seperti laser. Sistem laser berkuasa tinggi mampu memusnahkan dron atau peluru berpandu dengan kos operasi yang jauh lebih rendah berbanding peluru berpandu pemintas tradisional.
Ujar Ziarnick lagi, tentera laut AS dilaporkan menggunakan sistem laser berkuasa tinggi untuk memusnahkan dron musuh, manakala sekutunya turut menguji teknologi laser bagi menangkis ancaman udara.
“Teknologi ini berpotensi mengubah landskap peperangan kerana ia menawarkan sistem pertahanan yang lebih murah dan berterusan.
“Di samping teknologi kinetik seperti peluru berpandu dan dron, peperangan siber juga menjadi medan penting dalam konflik Iran-AS,” kongsinya.
Operasi siber digunakan untuk mengganggu komunikasi, radar dan sistem kawalan musuh sebelum serangan fizikal dilancarkan.
Dalam beberapa operasi ketenteraan, unit siber dilaporkan berjaya melumpuhkan rangkaian komunikasi dan sensor Iran, sekali gus melemahkan keupayaan pertahanan udara negara tersebut.
Walaupun AS memiliki teknologi paling maju, konflik ini menunjukkan bahawa kelebihan teknologi tidak semestinya menjamin kemenangan mudah.
Analisis pakar ketenteraan menunjukkan bahawa perang moden kini bergantung kepada gabungan teknologi canggih dan strategi kos rendah.
Contohnya, penggunaan dron murah oleh Iran mampu memberi tekanan kepada sistem pertahanan udara AS yang bergantung kepada peluru berpandu mahal seperti Patriot atau THAAD.
Tambahan pula, konflik ini turut menonjolkan cabaran logistik dan kos dalam peperangan moden.
Sistem senjata canggih memerlukan perbelanjaan yang sangat besar, sedangkan negara yang menggunakan strategi ‘perang kos rendah’ boleh menghasilkan senjata dalam jumlah besar dengan kos lebih murah.
Pakar industri pertahanan menegaskan bahawa masa depan peperangan mungkin lebih menekankan konsep ‘affordable mass’ iaitu penggunaan senjata murah dalam jumlah besar untuk menewaskan sistem teknologi mahal.
Konflik Iran dan AS menunjukkan bagaimana teknologi ketenteraan berkembang pesat dalam era peperangan moden. Dron, peluru berpandu balistik, peperangan siber, AI dan senjata laser kini menjadi komponen utama strategi ketenteraan.
Walaupun AS masih mendominasi dari segi teknologi dan kekuatan konvensional, Iran berjaya memanfaatkan strategi peperangan tidak simetri melalui dron dan peluru berpandu bagi mengimbangi jurang kekuatan tersebut.
Perkembangan ini memberi gambaran bahawa masa depan peperangan tidak lagi hanya ditentukan oleh jumlah tentera atau senjata berat, tetapi oleh keupayaan sesebuah negara menggabungkan teknologi canggih, automasi dan strategi inovatif di medan perang.
















