Pejam celik, pejam celik bagaikan tidak terasa Ramadan semakin menghampiri penghujungnya dan hari ini merupakan 19 Ramadan bermakna lebih kurang 10 hari sahaja lagi umat Islam akan menyambut kedatangan 1 Syawal.
Mungkin ada sebahagian daripada kita yang sedih untuk meninggalkan Ramadan kerana di dalamnya penuh dengan keberkatan dan setiap amalan diberikan ganjaran berlipat kali ganda.
Tidak kurang juga yang tidak sabar untuk menyambut kedatangan Syawal.
Sesungguhnya dalam masa 10 hari terakhir Ramadan, umat Islam digalakkan memperbanyakkan amalan soleh seperti solat malam, membaca al-Quran, berzikir, berdoa serta bersedekah bagi merebut keberkatan lailatul qadar.
Malam yang penuh kemuliaan ini disebut secara khusus dalam Surah al-Qadr di dalam al-Quran sebagai lebih baik daripada 1,000 bulan atau mengikut kiraan tahun menjadi 83 tahun.
Ada yang berkata, jika Ramadan kali ini meninggalkan kita mungkin ia menjadi yang terakhir buat kita, entah ada kesempatan untuk dipertemukan dengan bulan Istimewa tersebut pada tahun-tahun mendatang.
Sepanjang Ramadan, umat Islam yang berpuasa telah terdidik jiwanya untuk lebih tawaduk dan bersederhana dan bukannya untuk menunjuk-nunjuk siapa lebih hebat dalam berbelanja khususnya ketika berbuka puasa.
Umat Islam juga banyak melakukan amalan sunat dan mengerjakan amalan wajib seperti solat fardu Isyak berjemaah yang sebelum ini banyak dilakukan sendirian di rumah.
Contohnya ramai yang datang ke masjid atau surau untuk mengerjakan solat sunat tarawih, sekali gus melakukan solat fardu iaitu Isyak secara berjemaah yang sebelum ini ramai yang melakukannya di rumah bersendirian.
Inilah kelebihan yang ada pada Ramadan dalam mengejar pahala amalan sunat, amalan wajib dapat dibuat secara berjemaah dan ia seharusnya diteruskan pada bulan-bulan lain berkat madrasah Ramadan selama sebulan.
Justeru, janganlah memikirkan sangat dengan persiapan hari raya ketika kita berada di 10 malam terakhir Ramadan sehingga terlepas peluang mengejar lailatul qadar yang terdapat kelebihan paling besar seperti yang dijanjikan oleh Allah.
Amat sayang jika kita membiarkan kesempatan yang terhidang di depan mata berlalu begitu sahaja dek terleka dengan persiapan menyambut Syawal.
Tidak salah menantikan kedatangan 1 Syawal yang merupakan hari kemenangan kepada umat Islam selepas sebulan berpuasa, tetapi berpada-padalah.
Peluang pecutan 10 hari terakhir Ramadan tidak perlu dilepaskan begitu sahaja kalau kita tidak mahu menjadi orang yang rugi, antara mahu dan tidak sahaja.
Tepuk dada, tanya iman.














