fbpx
Gambar hiasan jemaah umrah di KLIA.

Agensi umrah bakal tanggung rugi hingga RM60 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Penangguhan perjalanan umrah susulan nasihat kerajaan berikutan peningkatan ketegangan di Asia Barat dijangka memberi kesan kewangan besar khususnya kepada syarikat pengendali umrah tempatan apabila mereka terpaksa menanggung kos perkhidmatan darat yang sukar dituntut semula.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd. Sham berkata, kerugian sebenar masih belum dapat ditentukan, namun jumlahnya dianggarkan mencecah puluhan juta ringgit jika mengambil kira purata jemaah Malaysia yang menunaikan umrah setiap bulan.

Menurut beliau, secara purata kira-kira 30,000 rakyat Malaysia menunaikan ibadah umrah setiap bulan menerusi pelbagai agensi yang berdaftar.
Jika perjalanan mereka terpaksa ditangguhkan, agensi umrah dijangka menanggung kerugian sekitar RM2,000 bagi setiap jemaah melibatkan kos tempahan hotel, pengangkutan dan perkhidmatan darat di Tanah Suci.

“Kalau ambil purata 30,000 jemaah sebulan yang terbang dan semuanya tertangguh, jumlah kerugian itu boleh mencecah puluhan juta ringgit,” katanya.

Razali menjelaskan, kebanyakan syarikat penerbangan lazimnya memberikan pampasan atau memulangkan bayaran tiket sekiranya berlaku pembatalan perjalanan.

Bagaimanapun katanya, situasi berbeza bagi kos ‘ground’ ke­rana bayaran untuk penginapan hotel serta perkhidmatan darat lain di Arab Saudi kebiasaannya tidak dapat dipulangkan.

“Visa umrah tidak menjadi isu kerana tempohnya boleh digunakan sehingga setahun. Namun kos penginapan dan perkhidmatan darat memang sukar untuk dapat semula kerana ia sudah dibayar lebih awal,” jelasnya.

Beliau turut mengimbas situasi sama ketika pelaksanaan Pe­rintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik Covid-19 apabila banyak agensi umrah terpaksa menanggung kerugian besar kerana bayaran hotel di Tanah Suci tidak dipulangkan.

Menurutnya, kejadian serupa juga pernah berlaku sekitar tahun 2009 atau 2010 apabila visa umrah Ramadan ditutup secara mengejut, menyebabkan agensi yang sudah membuat bayaran awal terpaksa menanggung sendiri kerugian berkenaan.

Sehubungan itu, PAPUH menasihatkan semua syarikat pengendali umrah serta jemaah supaya mematuhi nasihat kerajaan untuk menangguhkan perjalanan buat sementara waktu bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan.

“Kita nasihatkan kalau boleh tangguhkan penerbangan. Jika tetap pergi, risiko tetap ada dan keluarga di tanah air juga akan berasa bimbang.

“Ibadah umrah boleh dilakukan pada bila-bila masa. Jika ditangguhkan dan mengalami sedikit kerugian, itu masih lebih baik daripada berdepan perkara yang tidak diingini,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Luar menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan perjalanan ke negara-negara yang terjejas susulan peningkatan ketegangan di Asia Barat.

Nasihat tersebut turut me­libatkan rakyat Malaysia yang merancang untuk menunaikan ibadah umrah atau ziarah.

Kementerian berkata, keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia kekal menjadi keutamaan mutlak, dengan pemantauan berterusan dilakukan melalui Perwakilan Diplomatik Malaysia. di negara-negara terjejas.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Nuh Travel & Tours, Adam Jalal berkata, pihaknya tidak menafikan sebarang keputusan untuk menangguhkan perjalanan berpotensi memberi kesan kewangan kepada syarikat pelancongan.

“Jika ada kekangan atau halangan rasmi, kita akan cuba cari jalan untuk meminimumkan kos. Tetapi untuk jumlah kerugian yang tepat, saya tidak dapat jangkakan lagi,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini o­perasi penerbangan masih berjalan seperti dijadualkan kerana pihaknya belum menerima sebarang notis pembatalan daripada syarikat penerbangan.

“Daripada kenyataan Wisma Putra, mereka tidak menyatakan supaya perjalanan ditangguhkan, cuma memberi nasihat. Jika tiada perkara penting, perjalanan termasuk umrah dan ziarah boleh ditangguhkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN